Rabu, 20 March 2019 | 8:00am

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Indeks penanda aras S&P 500 ditutup dengan mencatat perubahan kecil apabila keyakinan pelabur terhadap pendirian Rizab Persekutuan berhubung dasar monetari diimbangi perkembangan terkini dalam rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang sedang berlangsung.

Saham kewangan memberi kesan kepada kesemua tiga indeks saham utama AS, yang susut selepas mencatat kenaikan awal susulan laporan Bloomberg bahawa rundingan perdagangan AS-China yang berlangsung tidaklah selancar seperti yang diharapkan.

Kebimbangan perdagangan sekali lagi menjadi faktor dalam pentadbiran Trump.

Mereka bimbang China berkemungkinan tidak dapat melaksanakan beberapa janji yang dibuat dalam rundingan setakat ini, kata Chris Zaccarelli, ketua pegawai pelaburan di Alliance di Charlotte, NC.

Dow Jones Industrial Average susut 26.72 mata atau 0.1 peratus kepada 25,887.38.

S&P 500 turun 0.37 mata atau 0.01 peratus kepada 2,832.57.

Nasdaq Composite menambah 9.47 mata atau 0.12 peratus kepada 7,723.95.

Daripada 11 sektor utama S&P 500, lapan ditutup dalam wilayah negatif, dengan utiliti dan kewangan mencatatkan penurunan terbesar.

Saham Ford Motor Co naik 1.5 peratus selepas pengeluar kereta itu mengumumkan ia akan meningkatkan pengeluaran SUV yang begitu menguntungkan di AS.

Platform penghantaran makanan dalam talian Grubhub Inc turun 8.4 peratus selepas Keybanc memberi amaran penyusutan perbelanjaan pelanggan.

Nvidia Corp mengakhiri sesi itu 4.0 peratus lebih tinggi susulan berita bahawa syarikat itu bekerjasama dengan Softbank Group Corp dan LG Uplus Corp untuk menggunakan pelayan permainan awan di Jepun dan Korea Selatan lewat tahun ini.

Pembuat cip itu memberikan rangsangan terbesar kepada Philadelphia SE Semiconductor Index, yang melonjak hampir 22 peratus setakat tahun ini.

Sejumlah 7.33 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.56 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X