Selasa, 19 March 2019 | 8:23am
Harga minyak naik ke paras tertinggi hampir empat bulan. - Foto Reuters
Harga minyak naik ke paras tertinggi hampir empat bulan. - Foto Reuters

Harga minyak tertinggi empat bulan

NEW YORK: Harga minyak naik ke paras tertinggi hampir empat bulan, disokong prospek Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) akan melanjutkan usaha mengawal pengeluaran selain tanda-tanda penyusutan inventori dalam stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS).

Niaga hadapan minyak mentah Brent mencecah AS$67.54 satu tong, naik 38 sen, atau 0.6 peratus. Penanda aras antarabangsa itu berada hampir di paras tertinggi 2019 pada AS$68.14 yang dicapai Khamis.

West Texas Intermediate ditutup pada AS$59.09 satu tong, menokok 57 sen, atau 1 peratus, selepas mencecah paras tertinggi empat bulan pada AS$59.23.

"Kami akan membiarkannya terbuka berhubung kemungkinan Brent akan mencecah paras tertinggi baharu terutamanya dengan OPEC+ dan sekutunya mengesahkan komitmen masing-masing untuk mengurangkan lagi pengeluaran," kata Jim Ritterbusch, Presiden Ritterbusch dan Associates, dalam satu nota.

OPEC+ mengadakan mesyuarat di Azerbaijan pada hujung minggu bagi memantau perjanjian pengurangan bekalan minyak mentah masing-masing, yang mana mereka mengatakan akan melanjutkan komitmen itu pada bulan-bulan mendatang.

Kumpulan itu juga membatalkan mesyuarat April depan. Ini bermaksud kumpulan pengeluar minyak itu tidak akan bertemu lagi hingga Jun.

Eksport pengeluar terbesar OPEC, Arab Saudi, susut kepada 7.3 juta tong sehari pada Januari daripada 7.7 juta tong sehari Disember, demikian menurut data rasmi.

Tanda-tanda tahap inventori mentah yang menyusut di hab penyimpanan AS di Cushing, Oklahoma juga menyokong niaga hadapan, kata peserta pasaran.

Stok minyak mentah di Cushing, titik penghantaran untuk WTI, jatuh 1.08 juta tong pada minggu berakhir Jumaat, kata pedagang, memetik data daripada firma risikan pasaran Genscape.

Keseluruhan inventori mentah AS diramalkan menyusut minggu lalu, penurunan mingguan kedua berturut-turut, demikian menurut tinjauan awal Reuters. - Reuters

Berita Harian X