Jumaat, 8 March 2019 | 7:14pm
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.05 mata kepada 1,679.90 mata hari ini.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.05 mata kepada 1,679.90 mata hari ini.

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Perkembangan kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang tidak memberangsangkan, ditambah penurunan di pasaran saham Shanghai dan Hong Kong telah mempengaruhi Bursa Malaysia untuk ditutup rendah hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.05 mata kepada 1,679.90 daripada 1,686.95 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.82 mata lebih rendah pada 1,686.13 sebelum bergerak antara 1,678.66 dan 1,688.28 sepanjang dagangan hari ini.

Di papan skor, lingkungan pasaran adalah negatif dengan 524 kaunter rugi berbanding 328 kaunter untung, manakala 382 kaunter tidak berubah, 668 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.61 bilion unit bernilai RM2.22 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM2.41 bilion yang dicatatkan semalam.

“Presiden Donald Trump berharap dapat melonjakkan pasaran saham AS apabila beliau mencapai persefahaman dalam perjanjian perdagangan dengan China.

“Bagaimanapun sebelum itu berlaku, firma teknologi China, Huawei terlebih dahulu mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Washington ekoran tindakan melarang agensi kerajaan membeli peralatan dan menggunakan perkhidmatannya.

“Kami menjangkakan kedua-dua negara tidak dapat memuktamadkan perjanjian berkenaan,” kata peniaga.

Beliau berkata, pelabur juga bimbang mengenai jangkaan bahawa ekonomi China lembap.

Pada Selasa, China menyemak turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 kepada antara enam dan 6.5 peratus.

Justeru itu, para pelabur akan mengikuti rapat data pekerjaan AS dan ia mungkin memberi lebih banyak petunjuk kepada pasaran.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.53, Public Bank turun empat sen kepada RM24.50, Tenaga susut 12 sen kepada RM12.70 manakala Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM9.25.

Bagi saham aktif, Dayang Enterprise melonjak 18 sen kepada RM1.58, Prestariang turun 1.5 sen kepada 52.5 sen, MYEG kurang empat sen kepada RM1.19 dan Perdana Petroleum kekal pada 29 sen.

Indeks FBM Emas turun 43.39 mata kepada 11,739.23, Indeks FBMT 100 kurang 46.20 mata kepada 11,590.48 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 52.20 mata kepada 11,737.82.

FBM 70 menguncup 46.51 mata kepada 14,161.78 manakala Indeks FBM Ace bertambah 27.61 mata kepada 4,690.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 26.41 mata kepada 17,492.39, Indeks Perladangan susut 28.61 mata kepada 7,264.14 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.58 mata kepada 169.26.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.84 bilion saham bernilai RM2.05 bilion daripada 2.24 bilion saham bernilai RM2.24 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran susut kepada 506.02 juta unit bernilai RM106.96 juta daripada 541.66 juta unit bernilai RM116.22 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 254.24 juta saham bernilai RM62.37 juta berbanding 262.03 juta saham bernilai RM56.17 juta semalam.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 219.83 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (258.82 juta), pembinaan (213.62 juta), teknologi (262.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.31 juta), hartanah (102.17 juta), perladangan (23.71 juta), REIT (6.61 juta), dana tertutup (10,100), tenaga (556.62 juta), penjagaan kesihatan (24.07 juta), telekomunikasi dan media (44.07 juta), pengangkutan dan logistik (52.28 juta) dan utiliti (16.16 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X