Rabu, 27 Februari 2019 | 6:52pm
FBM KLCI ditutup 5.55 mata atau 0.32 peratus lebih rendah kepada 1,713.45.
FBM KLCI ditutup 5.55 mata atau 0.32 peratus lebih rendah kepada 1,713.45.

Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan pelabur mengurangkan pegangan mereka dalam pasaran tempatan sebagai respons terhadap keputusan korporat yang lemah dalam sektor seperti hartanah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 5.55 mata atau 0.32 peratus lebih rendah kepada 1,713.45 berbanding 1,719 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.86 mata lebih rendah kepada 1,717.14. Ia bergerak antara paras 1,709.3 dan 1,717.59 sepanjang hari.

Ketua penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata sektor lain seperti perbankan, bagaimanapun, mencatat pencapaian lebih baik dari segi prestasi kewangan.

“Pelabur mendapati sukar untuk mengenal pasti proksi dalam pasaran masa depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan, berkata di sebalik berdepan ketahanan di bawah garisan aliran menurun, FBM KLCI kekal menggalakkan dengan mendapat sokongan segera pada paras sekitar 1,700 mata.

“Selagi indeks tidak jatuh di bawah paras sokongan kukuh 1,600 mata, kami percaya aliran kepada mengukuh ketika ini akan kekal. Sekiranya FBM KLCI mencecah paras di atas garisan aliran menurun, kita mungkin menyaksikan ketahanan seterusnya pada paras sekitar 1,730 mata,” katanya.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 481 berbanding 364 manakala 382 kaunter kekal tidak berubah, 666 tidak diniagakan dan 69 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.19 bilion unit bernilai RM2.07 bilion, berbanding 2.63 bilion unit bernilai RM2.21 bilion pada Selasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank naik tiga sen kepada RM9.58, TNB dan Petronas Chemicals masing-masing menokok empat sen kepada RM13.48 dan RM9.29, manakala Public Bank dan Hong Leong Bank kekal pada RM25.06 dan RM21.30.

CIMB susut dua sen kepada RM5.86, IHH Healthcare turun empat sen kepada RM5.66 dan Maxis susut satu sen kepada RM5.42.

Bagi saham aktif, Sapura Energy naik setengah sen kepada 31 sen, Dayang Enterprise menokok 3.5 sen kepada RM1, manakala Bumi Armada, Seacera dan Inix Technologies masing-masing kekal pada 19 sen, 34.5 sen dan 10 sen.

Sementara itu, SP Setia turun sembilan sen kepada RM2.48, selepas mencatatkan penyusutan keuntungan bersih kepada RM670.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 31Dis, 2018, berbanding RM993.70 juta pada tahun sebelumnya.

Indeks FBM Emas turun 46.71 mata kepada 11,910.7, Indeks FBMT 100 jatuh 47 mata kepada 11,755.86 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 59.23 mata kepada 11,820.95.

FBM 70 turun 93.29 mata kepada 14,198.74 tetapi Indeks FBM Ace melonjak 56.45 mata kepada 4,690.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 9.94 mata kepada 17,868.53 dan Indeks Perladangan susut 101.68 mata kepada 7,279.2, tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.45 mata kepada 169.09.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.41 bilion saham bernilai RM1.89 bilion, berbanding 1.90 bilion saham bernilai RM2.04 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 484.68 juta unit bernilai RM108.07 juta daripada 465.20 juta unit bernilai RM100.30 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 287.90 juta saham bernilai RM74.64 juta daripada 261.74 juta saham bernilai RM65.49 juta dicatatkan pada Selasa.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 204.56 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan pengguna, produk dan perkhidmatan perindustrian (284.78 juta), pembinaan (125.39 juta), teknologi (111.36 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.48 juta), hartanah (92.78 juta), perladangan (31.15 juta), REITs (9.26 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (330.10 juta), penjagaan kesihatan (33.51 juta), telekomunikasi dan media (48.34 juta), pengangkutan dan logistik (60.25 juta) dan utiliti (23.88 juta.

-BERNAMA

Berita Harian X