Selasa, 19 Februari 2019 | 10:39am

Saham Asia hampiri paras kemuncak empat bulan

TOKYO: Saham Asia berlegar menghampiri paras kemuncak dalam tempoh empat bulan hari ini disokong oleh harapan bahawa rundingan perdagangan Sino-Amerika Syarikat (AS) positif dan jangkaan dasar rangsangan dari bank pusat.

Walaupun pelabur tidak memiliki petunjuk arah kukuh dengan pasaran AS ditutup pada Isnin sempena cuti umum, sentimen kekal meluas dengan indeks STOXX 600 bagi saham Eropah mencecah paras tinggi dalam tempoh empat bulan.

Indeks meluas MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun sedikit berubah pada sesi dagangan awal untuk menghampiri paras tinggi empat bulan pada Rabu sementara Nikkei Jepun pula hampir tidak berubah.

Laporan mengenai kemajuan rundingan perdagangan antara AS dan China mendorong sedikit keyakinan pelabur bahawa kedua-dua negara boleh mencapai kata sepakat untuk mengelakkan kenaikan tarif pada 1 Mac.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump, berkata beliau mungkin melanjutkan tarikh akhir perjanjian 1 Mac, yang mana menghentikan segera tarif import AS$200 bilion kepada 25 peratus daripada 10 peratus sebelum ini.

Perubahan sentimen menyaksikan saham China melonjak dengan mendadak bulan ini dengan indeks saham MSCI China A menokok 6.5 peratus, terbaik setakat ini dalam kalangan pasaran utama.

Selain itu, pelabur kini dilihat kembali ke pasaran aset risiko selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) pada awal tahun ini memberi isyarat untuk tidak menaikkan kadar faedah disebabkan ekonomi AS yang sederhana.

- Reuters

Berita Harian X