Isnin, 18 Februari 2019 | 10:24am

Saham Asia mengukuh

SYDNEY: Pasaran saham Asia mengukuh hari ini selepas pelabur yakin dengan proses rundingan Sino-Amerika Syarikat (AS) di Washington minggu ini selain disokong lebih banyak dasar rangsangan daripada bank pusat utama.

Indeks meluas MSCI bagi saham Asia Pasifik di luar Jepun menokok 0.3 peratus, sebahagian pulih daripada kejatuhan mendadak Jumaat lalu.

Nikkei Jepun melonjak 1.6 peratus untuk mencecah paras tertingginya tahun ini, sementara indeks utama Australia menokok 0.7 peratus.

Niaga hadapan E-Mini bagi S&P 500 tidak berubah dengan dagangan mengecil disebabkan cuti umum di pasaran AS.

Dow dan Nasdaq mencatat keuntungan mingguan kelapan berturut-turut disokong perjanjian yang akan dipersetujui antara AS dan China bagi menyelesaikan perang dagang.

Kedua-dua negara akan meneruskan rundingannya minggu ini dengan Presiden AS, Donald Trump berkata beliau mungkin akan melanjutkan tarikh akhir perjanjian kepada 1 Mac.

Kedua-dua negara mencatat kemajuan dalam rundingan lima hari yang berlangsung di Beijing minggu lalu.

- Reuters

Berita Harian X