Khamis, 14 Februari 2019 | 5:33pm
Brent mencecah paras tinggi 2019 AS$64.43 satu tong pada sesi dagangan awal hari ini. - Foto hiasan
Brent mencecah paras tinggi 2019 AS$64.43 satu tong pada sesi dagangan awal hari ini. - Foto hiasan

Harga minyak global meningkat 1 peratus

SINGAPURA: Harga minyak meningkat hampir satu peratus pada Khamis, dengan niaga hadapan minyak mentah Brent mencecah paras tinggi 2019.

Ia didorong harapan bahawa pertikaian tarif Sino-Amerika Syarikat (AS) akan tamat dalam masa terdekat, dengan data perdagangan China termasuk import minyak mentah melangkaui jangkaan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$64.35 satu tong pada 0754 GMT, naik 74 cent, atau 1.1 peratus, daripada penutup terakhir.

Brent mencecah paras tinggi 2019 AS$64.43 satu tong pada sesi dagangan awal hari ini.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$54.46 satu tong, naik 57 cent, atau 1.1 peratus.

Pasaran lebih optimis terhadap rundingan dagangan antara AS dan China susulan Presiden Donald Trump, menyatakan perbincangan itu berlangsung dengan lancar.

“Gencatan perdagangan 90 hari yang dipersetujui pada Disember lalu akan tamat pada 1 Mac depan. Namun disebabkan perbincangan itu mencapai kemajuan, mungkin tarikh itu akan dilanjutkan.

“Ini menyebabkan pasaran lebih optimis bahawa dua pemimpin negara berkenaan akan mengadakan pertemuan pada lewat bulan itu,” kata penganalisis pasaran kanan OANDA, Alfonos Esparza.

Pasaran juga mendapat sokongan daripada data perdagangan China yang kukuh, termasuk untuk minyak mentah.

Import minyak mentah China pada Januari meningkat 4.8 peratus berbanding setahun lalu, demikian menurut data Kastam pada Khamis, kepada purata 10.03 juta tong sehari (bpd).

-- REUTERS

Berita Harian X