Rabu, 30 Januari 2019 | 8:08am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Wall Street bercampur-campur

NEW YORK: Wall Street ditutup bercampur-campur Selasa, dengan Alphabet, Facebook dan saham berkaitan teknologi lain merudum, sementara pemulihan dalam 3M dan saham industri lain melonjakkan Dow Jones Industrial Average.

Apple Inc melonjak empat peratus selepas pengeluar iPhone itu mengeluarkan keputusan suku tahun susulan amarannya terdahulu awal bulan ini bahawa pendapatan akan kurang daripada yang dijangkakan disebabkan kelembapan di China, yang mana ekonominya terkesan oleh perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Saham Apple susut 1.04 peratus pada sesi dagangan, dan melantun selepas loceng membantu menolak naik dagangan hadapan S&P 500 sebanyak 0.2 peratus, mencadangkan bahawa Wall Street berpotensi dibuka dalam wilayah positif Rabu.

Kadar faedah juga menjadi tumpuan kerana Rizab Persekutuan memulakan mesyuarat dasar monetari selama dua hari. Selepas menaikkan kadar secara beransur-ansur tahun lalu, bank pusat mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk mengetatkan lagi dasar monetari dalam berhadapan kelembapan ekonomi global dan ketidaktentuan pasaran.

Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan kadar faedah, dan pelabur akan melihat laporan pekerjaan Januari bagi mendapatkan petunjuk berhubung kadar inflasi masa depan.

Dow Jones Industrial Average meningkat 0.21 peratus kepada 24,579.96 mata.

S&P 500 turun 0.15 peratus kepada 2,640, diheret turun oleh saham teknologi dan komunikasi.

Nasdaq Composite turun 0.81 peratus kepada 7,028.29.

Kontraktor pertahanan L3 Technologies Inc melonjak 8.44 peratus dan Harris Corp naik 8.78 peratus selepas mengatasi anggaran pendapatan suku tahunan.

Harley-Davidson Inc merosot 5.05 peratus selepas pembuat motosikal itu melaporkan keuntungan suku tahunan lebih rendah daripada jangkaan, terkesan daripada penyusutan jualan di AS.

Sejumlah 6.9 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.6 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya.- Reuters

Berita Harian X