Selasa, 29 Januari 2019 | 9:07am

Bursa Tokyo dibuka rendah bimbang ekonomi China

TOKYO: Saham Tokyo dibuka lebih rendah hari ini, diseret turun oleh kebimbangan berhubung ekonomi China di tengah-tengah ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Indeks penanda aras Nikkei 225 turun 0.46 peratus atau 94.43 mata kepada 20,554.57 pada awal dagangan manakala indeks Topix turun 0.33 peratus, atau 5.06 mata, pada 1,550.45.

Wall Street memulakan minggu ini lebih rendah bersandarkan laporan pendapatan korporat yang mengecewakan oleh Caterpillar dan firma teknologi Nvidia yang menggariskan kebimbangan berhubung pertumbuhan ekonomi China yang perlahan.

"Minggu ini bermula dengan nada risiko meluas," kata Rodrigo Catril, ahli strategi pasaran kanan di Australia National Bank.

"Caterpillar dan Nvidia bukanlah syarikat pertama yang menyalahkan China ke atas kesengsaraan yang mereka alami, tetapi kedua-dua syarikat itu dilihat sebagai peneraju industri dan keputusan pendapatan yang mengecewakan memberikan bukti lanjut bahawa kelembapan China adalah nyata," katanya dalam satu nota.

Di Tokyo, penjualan dilihat dalam saham syarikat yang mana perniagaan mereka beroperasi kukuh di China.

Pembuat jentera perindustrian Komatsu jatuh 4.80 peratus kepada 2,704.5 yen dan pengeluar robot Fanuc turun 2.30 peratus kepada 18,245 yen.

SoftBank Group, yang melabur dalam Nvidia menerusi dana teknologinya, turun 0.75 peratus kepada 8,015 yen. - AFP

Berita Harian X