Selasa, 29 Januari 2019 | 8:00am

Caterpillar tarik turun Wall Street

NEW YORK: Saham Amerika Syarikat (AS) susut selepas amaran dari Caterpillar Inc dan Nvidia Corp menambah kebimbangan berhubung kelembapan ekonomi China dan berhubung tarif yang dikenakan ke atas keuntungan korporat AS.

Saham Caterpillar, pengeluar peralatan berat terbesar dunia, turun 9.13 peratus dan mengalami hari paling buruk sejak 2011 selepas keuntungan suku tahunan syarikat tersasar daripada anggaran Wall Street, terkesan oleh permintaan lemah di China dan kos pembuatan dan perbelanjaan yang lebih tinggi.

Kejatuhan Caterpillar menyumbang hampir satu pertiga daripada kejatuhan Dow, dan indeks industri S&P turun 1.0 peratus.

Nvidia susut 13.82 peratus selepas pembuat cip itu mengurangkan unjuran pendapatan suku keempat sebanyak setengah bilion dolar disebabkan permintaan lemah bagi cip permainan di China dan jualan pusat data yang lebih rendah daripada jangkaan.

Indeks semikonduktor Philadelphia merosot 2.09 peratus, manakala indeks teknologi S&P menurun 1.40 peratus.

Dow Jones Industrial Average turun 0.84 peratus kepada 24,528.22 mata.

S&P 500 susut 0.78 peratus kepada 2,643.85.

Nasdaq Composite turun 1.11 peratus kepada 7,085.69.

Sembilan daripada 11 indeks sektor utama S&P mencatat penurunan.

Amazon.com Inc dan Microsoft Corp masing-masing turun hampir dua peratus, manakala saham Apple turun hampir satu peratus, menyeret turun S&P 500 dan Nasdaq.

Sejumlah 7.3 bilion saham bertukar tangan, berbanding 7.7 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X