Jumaat, 18 Januari 2019 | 11:17am

Harga minyak dunia meningkat

SYDNEY: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) meningkat dalam dagangan awal hari ini selepas laporan daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang menunjukkan hasil pengeluarannya susut mendadak bulan lalu.

Ia memberikan kelegaan dan mengurangkan kebimbangan mengenai krisis lebihan bekalan yang berpanjangan.

Niaga hadapan AS West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$52.40 setong, naik 32 cents, atau 0.6 peratus daripada penutup akhirnya.

Minyak mentah itu ditutup 0.4 peratus lebih rendah pada Khamis.

Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah Brent masih belum didagangkan selepas ditutup naik 1.1 peratus dalam sesi berikutnya.

Pengurangan bekalan OPEC menunjukkan penurunan mendadak pada Disember sebelum perjanjian baharu berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

ANZ Bank dalam nota penyelidikannya berkata pengurangan pengeluaran oleh OPEC akan menjadi pengukut untuk mengukuhkan pasaran dan menyokong harga minyak.

“Pertubuhan berkenaan membuat pengurangan bekalan bersama-sama dengan pengeluar utama lain seperti Rusia,” katanya.

Dalam laporan bulanannya, OPEC berkata hasil minyaknya susut sebanyak 751,000 tong sehari pada Disember kepada 31.58 juta tong sehari, penyusutan terbesar bulan ke bulan dalam tempoh hampir dua tahun.

-REUTERS

Berita Harian X