Isnin, 14 Januari 2019 | 6:57pm

Harga minyak global menyusut

SINGAPURA: Harga minyak menyusut lebih satu peratus pada Isnin, dengan minyak mentah Brent merosot di bawah paras AS$60 satu tong, selepas data dari China menunjukkan angka eksport dan import yang lemah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$59.88 satu tong pada 0816 GMT, susut 60 cent atau satu peratus berbanding semasa ditutup sebelum ini.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) menyusut 59 cent, atau 1.1 peratus kepada AS$51 satu tong.

Eksport China menyusut 4.4 peratus pada Disember berbanding tahun sebelumnya, penyusutan bulanan terbesar dalam tempoh dua tahun, demikian menurut data yang dikeluarkan hari ini.

Ia sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih lemah untuk ekonomi terbesar dunia itu. Import juga menyusut 7.6 peratus, penyusutan terbesar sejak Julai 2016.

“Niaga hadapan minyak mentah kembali merosot sebaik sesi dagangan Asia bermula minggu ini, seiring dengan pasaran saham serantau apabila laporan menunjukkan China mencatatkan lebihan dagangan berjumlah AS$351.76 bilion untuk 2018, paras terendah sejak 2013,” kata perunding tenaga Vandana Hari.

Data lemah itu mengesahkan petanda yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan sejak separuh kedua 2018.

Peniaga berkata, data itu mengheret turut niaga hadapan minyak mentah dan pasaran saham Asia, yang mana kedua-dua itu menunjukkan kenaikan sederhana pada awal hari ini.

Firma Penyelidikan Ekonomi, TS Lombard, berkata harga emas dihadkan apabila pertumbuhan ekonomi dunia semakin perlahan, mengehadkan skop positif untuk permintaan minyak dan menghalang pengurangan inventori.

Namun begitu, import minyak China kekal di paras tinggi Disember pada 10.31 juta tong sehari (bpd).

-- REUTERS

Berita Harian X