Isnin, 14 Januari 2019 | 10:18am

Harga minyak naik, Brent AS$60.75 setong

SINGAPURA: Harga minyak naik hari ini, disokong oleh pemotongan bekalan berterusan daripada pengeluar Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia serta pengurangan aktiviti penggerudian di Amerika Syarikat (AS).

Penanda aras antarabangsa, niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$60.75 setong pada 0040 GMT, naik 27 cents, atau 0.5 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS menambah 22 cents, atau 0.4 peratus, pada AS$51.81 setong.

Firma penyelidikan ekonomi TS Lombard berkata, harga minyak mungkin akan stabil sekitar paras semasa dan kemungkinan akan terus meningkat, mengambil kira petunjuk daripada pengurangan bekalan daripada OPEC dan beberapa negara bukan sekutu OPEC, termasuk Russia.

Pengurangan aktiviti penggerudian di empat pelantar minyak sepanjang minggu sehingga 11 Januari, menjadikan jumlah keseluruhan penurunan sehingga 873, menurut firma perkhidmatan tenaga, Baker Hughes dalam satu laporan mingguannya pada Jumaat.

Bagaimanapun, TS Lombard berkata, harga minyak mungkin tidak meningkat lebih tinggi disebabkan ekonomi dunia kini semakin perlahan ... mengehadkan skop untuk kejutan positif dalam permintaan minyak dan menghalang pengurangan inventori.

-REUTERS

Berita Harian X