Isnin, 7 Januari 2019 | 5:42pm

Harga minyak global meningkat

SINGAPURA: Harga minyak meningkat lebih 1.5 peratus pada Isnin dengan jangkaan rundingan di Beijing akan menamatkan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selain itu, langkah mengurangkan bekalan oleh negara pengeluar utama turut menyokong harga minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$58.04 satu tong pada 0751 GMT, naik 98 cent, atau 1.7 peratus berbanding semasa ditutup sebelum ini.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) berad apada AS$48.85 satu tong, naik 89 cent, atau 1.9 peratus.

Pasaran kewangan meningkat pada Isnin berikutan jangkaan rundingan dagangan antara Washington dan Beijing, bermula hari ini, akan meredakan ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Perang dagangan antara AS dan Beijing berlangsung sejak awal 2018, dengan menaikkan tarif import antara kedua-dua negara berkenaan, sekali gus memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi global.

Bank pelaburan global, Goldman Sachs Group Inc menurunkan unjuran harga minyak Brent bagi 2019 kepada AS$62.50 setong berbanding unjuran sebelum ini AS$70 setong, berikutan peningkatan semula lebihan minyak dan pengukuhan pengeluaran syal Amerika Syarikat (AS).

Meskipun terdapat kemungkinan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, harga niaga hadapan minyak mentah disokong menerusi langkah mengurangkan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan ahli termasuk Russia.

Goldman berkata, potongan itu akan menyebabkan kenaikan harga minyak mentah pada 2019, apabila inventori kembali ke tahap purata lima tahun.

Bekalan minyak OPEC pada Disember menyusut kira-kira 460,000 tong sehari (bpd) kepada 32.68 juta bpd, dipacu langkah mengurangkan bekalan oleh Arab Saudi.

-Reuters

Berita Harian X