Khamis, 27 Disember 2018 | 7:53am

Dow Jones melonjak lebih 1,000 mata

NEW YORK: Dow Jones Industrial Average melonjak lebih 1,000 mata buat pertama kalinya pada Rabu, menerajui pemulihan Wall Street selepas laporan menunjukkan bahawa jualan musim cuti adalah yang paling kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini membantu mengurangkan kebimbangan berhubung kesihatan ekonomi.

Berikutan kejatuhan Wall Street yang paling buruk pada sesi sebelumnya, kenaikan itu juga didorong strategi pelabur yang mengambil posisi secara lebih meluas.

Pada penutup Dow, S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan peratusan kenaikan harian terbesar dalam hampir satu dekad.

Jualan musim cuti Amerika Syarikat (AS) pada 2018 meningkat 5.1 peratus berbanding setahun lalu kepada lebih AS$850 bilion, keuntungan tertinggi dalam tempoh enam tahun, demikian menurut laporan Mastercard.

Indeks peruncitan S&P 500 melonjak 7.4 peratus, sementara saham peruncit dalam talian Amazon, yang menyifatkannya musim "pemecah rekod", naik 9.4 peratus.

Dow Jones Industrial Average menokok 1,086.25 mata, atau 4.98 peratus, kepada 22,878.45.

S&P 500 menambah 116.6 mata, atau 4.96 peratus, kepada 2,467.7.

Nasdaq Composite naik 361.44 mata, atau 5.84 peratus, kepada 6,554.36.

Rekod kenaikan tertinggi sebelumnya bagi Dow adalah 936.42 pada 13 Oktober 2008, ketika mana pasaran berhadapan tekanan hampir setiap hari oleh perkembangan dalam krisis kewangan.

Sejumlah 9.5 bilion saham bertukar tangan, di atas 9.1 bilion purata 20 sesi dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X