Isnin, 24 Disember 2018 | 8:04pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan sentimen yang lemah memandangkan ramai peserta kini bercuti sempena Krismas dan cuti panjang hujung tahun, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.1830/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1790/1830 Jumaat lalu.

Peniaga berkata, sentimen pasaran terjejas oleh kemungkinan lanjutan penutupan kerajaan AS sehingga tahun baharu disebabkan perbelanjaan belanjawan.

Dalam negara, Ketua Pedagang OANDA Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata ringgit masih cenderung untuk didagangkan rendah dalam jangka terdekat.

“Walaupun harga minyak bergerak tinggi, gambaran secara menyeluruhnya ialah jika harga minyak terus merosot, ini akan menjejaskan teruk hasil kerajaan memandangkan Belanjawan 2019 ditambat pada pada AS$70 setong,” katanya kepada Bernama.

Pada Ahad, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan hanya akan menyemak semula belanjawan tahun depan jika harga purata minyak mentah merosot kurang daripada AS$50 setong.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dollar Singapura kepada 3.0451/0484 daripada 3.0490/0531 Jumaat lepas, namun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7651/7681 daripada 3.7379/7425.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound British kepada 5.2907/2957 daripada 5.2919/2986 dan tinggi berbanding euro kepada 4.7661/7704 daripada 4.7758/7808 sebelumnya.

-- BERNAMA

Berita Harian X