Selasa, 18 Disember 2018 | 6:44pm

Harga minyak global terus menyusut

SINGAPURA: Harga minyak global menyusut lebih AS$1 pada Selasa, menyusut tiga hari berturut-turut berikutan laporan peningkatan inventori dan jangkaan output syal di Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kebimbangan berhubung lebihan bekalan.

Peniaga berkata, kebimbangan terhadap permintaan minyak pada masa akan datang di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi global yang perlahan serta keraguan keberkesanan rancangan mengurangkan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) juga memberi tekanan kepada harga minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa, berada pada AS$58.78 satu tong pada 0722 GMT, susut 83 cent, atau 1.39 peratus, daripada penutup terakhirnya.

Brent yang mencatat penurunan lebih empat peratus sejak tiga sesi dagangan sebelum ini, menyusut sehingga AS$58.10 satu tong pada Selasa, menurun lebih AS$1.50 peratus daripada semasa ditutup semalam.

Niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) menyusut 87 cent, atau 1.74 peratus, kepada AS$49.01 satu tong.

Kedua-dua minyak mentah AS dan Brent mencatat penyusutan lebih 30 peratus sejak awal Oktober berikutan peningkatan inventori global, dengan WTI kini diniagakan pada paras terendah sejak Oktober 2017.

“Peningkatan paras pengeluaran syal AS dengan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dijangka akan mengancam usaha OPEC.

“Keyakinan pasaran tidak kukuh berikutan keadaan ekonomi tidak menentu, ditambah dengan permintaan minyak yang lebih rendah menjangkaui 2018,” kata penganalisis Philip Futures, Benjamin Lu Jiaxuan.

Pengeluaran minyak dari tujuh syal utama AS dijangka meningkat lebih lapan juta tong sehari (bpd) buat pertama kali menjelang akhir tahun, demikian menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Inventori di hab simpanan AS di Cushing, Oklahoma, titik penghantaran kontrak niaga hadapan WTI, meningkat lebih satu juta tong dari 11 hingga 14 Disember, kata peniaga.

Peniaga berkata, susulan harga minyak menyusut, pengeluar syal akan menghentikan operasi dan mengurangkan bekalan, walaupun ia akan memakan masa.

-- REUTERS

Berita Harian X