Khamis, 13 Disember 2018 | 8:34pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut, sejajar dengan aliran meningkat di bursa serantau, didorong oleh ketegangan perdagangan yang berkurangan antara Amerika Syarikat dan China yang menggalakkan pelabur berminat untuk mengambil risiko, kata peniaga.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi 12.73 mata kepada 1,676 berikutan sokongan belian kepada kaunter berkaitan indeks terutamanya Maybank, Axiata, CIMB, Petronas Dagangan dan Hong Leong Bank.

Indeks barometer bergerak antara 1,670.12 dan 1,677.91 sepanjang hari.

Terdapat 371 kaunter untung dan 397 kaunter rugi manakala 381 kaunter kekal tidak berubah, 765 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.57 bilion unit, bernilai RM1.65 bilion, daripada 2.07 bilion unit, bernilai RM1.94 bilion, dicatatkan semalam.

Peniaga berkata pasaran Asia meneruskan peningkatan semalam, mengambil petunjuk daripada perkembangan positif berhubung pertikaian perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia.

Syarikat milik China dilaporkan membeli lebih 1.5 juta tan kacang soya AS dalam pembelian kacang soya AS utama yang pertama dalam tempoh lebih enam bulan.

“Perkembangan baik ini membuktikan China komited untuk menyokong ekonominya yang perlahan,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 15 sen kepada RM9.44, Public Bank naik lapan sen kepada RM24.98, CIMB menambah sembilan sen kepada RM5.84, bagaimanapun Tenaga susut empat sen kepada RM13.46.

Bagaimanapun, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM9.17 dan RM5.60.

Daripada saham aktif, Bumi Armada naik setengah sen kepada 18 sen, MyEG menokok 8.5 sen kepada 92.5 sen, bagaimanapun Sanichi merosot dua sen kepada lapan sen.

Indeks FBM Emas meningkat 72.13 mata kepada 11,507.99, Indeks FBMT 100 naik 76.85 mata kepada 11,403.74, FBM 70 menambah 51.07 mata kepada 13,257.36 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 48.56 mata kepada 11,455.17.

Bagaimanapun, Indeks FBM Ace jatuh 72 mata kepada 4,460.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 176.1 mata kepada 17,465.79, Indeks Perladangan naik 38.06 mata kepada 6,698.54 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.59 mata kepada 167.78.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.02 bilion saham, bernilai RM1.53 bilion, daripada 1.41 bilion saham, bernilai RM1.81 bilion, dicatatkan pada Rabu.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 362.52 juta unit, bernilai RM87.82 juta, daripada 390.18 juta unit, bernilai RM84.56 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 183.29 juta saham, bernilai RM26.97 juta, berbanding 267.68 juta saham, bernilai RM38.93 juta, dicatatkan pada Rabu.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 1.22 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perindustrian dan perkhidmatan (144.45 bilion), pembinaan (56.38 juta), teknologi (165.63 juta), SPAC (3.24 juta), perkhidmatan kewangan (28.35 juta), hartanah (63.32 juta), perladangan (26.09 juta), REIT (7.79 juta), dana tertutup (13,700), tenaga (239.92 juta), penjagaan kesihatan (34.49 juta), telekomunikasi dan media (47.79 juta), pengangkutan dan logistik (57.88 juta), dan utiliti (20.65 juta).

-- BERNAMA

Berita Harian X