Khamis, 22 November 2018 | 6:52pm

Brent jatuh sedikit, AS$63.34 setong

SINGAPURA: Harga minyak jatuh hari ini susulan inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) berada pada paras tertinggi sejak Disember 2017 di tengah-tengah kebimbangan mengenai lebihan bekalan global.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS, berada pada AS$54.47 setong pada 0740 GMT, turun 16 cent atau 0.3 peratus daripada penyelesaian terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah Brent AS$63.34 setong, turun 14 cent atau 0.2 peratus.

Inventori minyak mentah komersial AS meningkat sebanyak 4.9 juta tong kepada 446.91 juta tong minggu lalu, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) dalam laporan mingguan hari ini.

Pengeluaran minyak mentah AS kekal sebanyak 11.7 juta tong sehari (bpd), kata EIA.

"Data inventori AS ... terus membuktikan peningkatan bekalan yang signifikan, yang mencatat rekod pengeluaran minyak mentah AS yang mampan," kata Stephen Innes, ketua perdagangan Asia Pasifik di broker niaga hadapan Oanda Singapura.

Pasaran Asia lemah berikutan pelabur bimbang mengenai pertumbuhan global yang perlahan menjelang kenaikan kadar faedah AS dan ketegangan perdagangan, yang turut memberi tekanan kepada pasaran minyak, kata peniaga.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa pasaran minyak mempunyai sedikit kapasiti bekalan yang dapat menangani gangguan bekalan yang tidak dapat dielakkan. - Reuters

Berita Harian X