Selasa, 13 November 2018 | 10:18am

Harga minyak jatuh di bawah paras AS$70 setong

SINGAPURA: Harga minyak jatuh lebih satu peratus pada awal dagangan dengan minyak mentah Brent susut di bawah paras AS$70 dan WTI di bawah AS$60 setong, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi tekanan kepada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) supaya tidak memotong bekalan untuk menyokong pasaran.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) didagangkan AS$59.06 setong pada 0115 GMT, turun 87 cent atau 1.5 peratus daripada penyelesaian terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent pada AS$ 69.17 setong, turun 95 cent atau 1.4 peratus, daripada penutup terakhir.

Kedua-dua penanda aras harga minyak ini susut lebih 20 peratus sejak awal Oktober.

"Pengeluaran tinggi di AS, ditambah dengan peningkatan pengeluaran dari Arab Saudi dan Russia, mula memberi kesan kepada imbangan pasaran minyak. Oleh itu, inventori minyak mentah mulai meningkat sekali lagi," kata Bank of America Merrill Lynch dalam satu nota.

Bank itu juga menjangkakan pengeluaran minyak mentah AS, yang ketika ini mencatatkan 11.6 juta tong sehari untuk mencecah 12 juta tong sehari pada 2019.

Pengeksport utama Arab Saudi menyaksikan dengan berhati-hati bagaimana penawaran mula mengatasi permintaan, berkemungkinan berlakunya krisis pasaran seperti 2014. - Reuters

Berita Harian X