Rabu, 31 Oktober 2018 | 6:32pm

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan lebih tinggi hari ni seiring dengan prestasi bursa serantau, dengan pembelian saham berwajaran tinggi dan peniaga memberi tumpuan khusus kepada saham produk industri dan saham berkaitan perkhidmatan.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi pada 1,709.27, naik 23.33 mata daripada 1,685.94 pada Selasa.

Indeks dibuka 5.45 mata lebih kukuh kepada 1,691.39 dan bergerak antara 1,689.43 dan 1,711.95 sepanjang hari.

Keadaan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 716 berbanding 196, manakala 305 tidak berubah, 679 tidak diniagakan dan 87 kaunter lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.33 bilion unit bernilai RM2.37 bilion berbanding 1.95 bilion unit bernilai RM1.59 bilion pada Selasa.

Maybank IB Research dalam satu nota hari ini berkata, berikutan pemulihan dalam pasaran AS semalaman, firma penyelidikan itu menjangka FBMKLCI akan terus mencatat kenaikan.

“Dagangan akan memberi tumpuan kepada pengeksport kerana ringgit terus menyusut berbanding dolar,” katanya.

Sementara itu, Maybank IB Research secara teknikalnya tepat dengan jangkaan bahawa FBM KLCI berada pada paras 1,710 hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 15 sen kepada RM9.49, Public Bank menambah enam sen kepada RM24.60, Tenaga untung 40 sen kepada RM14.70, CIMB menokok 14 sen kepada RM5.72, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9. 35.

Antara kaunter aktif, Seacera naik 2.5 sen kepada 23.5 sen, Sapura Energy meningkat dua sen kepada 34 sen, Hibiscus untung 10 sen kepada RM1.12, Datasonic menokok satu sen kepada 36 sen dan Nova MSC menambah 1.5 sen kepada 13.5 sen.

Indeks Emas FBM naik 195.41 mata kepada 11,770.04, Indeks Syariah Emas FBM meningkat 219.05 mata kepada 11,771.78 manakala Indeks FBM Ace menambah 140.22 mata kepada 4,852.55.

Indeks FBMT 100 menokok 187.19 mata kepada 11,624.27 dan FBM 70 melonjak 328.4 mata kepada 13,491.35.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan naik 67.41 mata kepada 7,359.21, Perkhidmatan Kewangan meningkat 208.58 mata kepada 17,249.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 2.22 kepada 170.64.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.54 bilion saham bernilai RM2.2 bilion berbanding 1.33 bilion saham bernilai RM1.44 bilion yang dicatatkan pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 431.83 juta unit bernilai RM104.6 juta berbanding 387.13 juta unit bernilai RM103.1 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 357.03 juta saham bernilai RM65.93 juta berbanding 240.34 juta saham bernilai RM38.91 juta yang dicatatkan pada Isnin.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 190.81 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (301.95 juta), pembinaan (70.6 juta), teknologi (308.01 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.56 juta), hartanah (101.66 juta), perladangan (24.22 juta), REIT (12.56 juta), tertutup/dana (32,100), tenaga (307.68 juta), penjagaan kesihatan (29.52 juta), telekomunikasi dan media (64.12 juta), pengangkutan dan lojistik (41.46 juta) dan utiliti (37.01 juta). - BERNAMA

Berita Harian X