Jumaat, 19 Oktober 2018 | 8:28am

Brent jatuh di bawah AS$80 satu tong

HOUSTON: Harga minyak turun berikutan kebimbangan pelabur kembali memuncak berhubung impak pertelingkahan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kelihatannya semakin meruncing, manakala data menunjukkan inventori mencatat lebihan ketara sejak empat minggu lalu.

Penanda aras global minyak mentah, Brent, turun hampir AS$8 setong sejak mencecah paras tertinggi empat tahun AS$86.74 pada 3 Oktober, dilemahkan oleh unjuran pertumbuhan ekonomi global dengan pada mana AS dan China masing-masing saling mengenakan tarif ke atas import bernilai berbilion dolar.

Brent ditutup pada AS$79.29 satu tong, turun 76 cent.

Minyak mentah AS susut AS$1.10, atau 1.6 peratus, pada AS$68.65.

"Pemacu sebenar pembetulan ini ialah kebimbangan berhubung pertumbuhan permintaan dan isu berkaitan perdagangan," kata Gene McGillian, Naib Presiden Penyelidikan Pasaran untuk Tradition Energy di Stamford, Connecticut.

Pada 9 Oktober lalu Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2018 dan 2019, disebabkan sebahagiannya oleh ketegangan dasar perdagangan dan pengenaan tarif import yang memberi kesan kepada perdagangan.

Ia meramalkan pertumbuhan global 3.7 peratus pada 2018 dan 2019, turun berbanding unjuran pertumbuhan 3.9 peratus bagi kedua-dua tahun yang dibuatnya Julai lalu.

Sebelum ini, Brent jatuh di bawah AS$79 setong sehari selepas laporan Jabatan Tenaga AS menunjukkan pengeluaran minyak mencatat lebihan 22 juta tong sejak empat minggu lalu.

Loji penapisan minyak AS memasuki musim penyelenggaraan, yang mana operasi loji utama direhatkan selama empat hingga enam minggu, yang mana ia turut memberi kesan ke atas permintaan dan harga. - Reuters

Berita Harian X