Khamis, 27 September 2018 | 7:41am

Rali Wall Street bertukar negatif

NEW YORK: Rali di Wall Street terhenti dan saham bertukar negatif sejurus sebelum pasaran ditutup Rabu.

Ia berikutan pelabur yang menilai semula kenyataan dasar dikeluarkan Rizab Persekutuan dan mengambil keputusan untuk mengurangkan risiko masing-masing.

Saham Amerika Syarikat (AS) pada awalnya meneruskan kenaikan selepas Rizab Persekutuan, sebagaimana dijangkakan, menaikkan kadar faedah dan membiarkan tinjauan dasar monetari untuk tahun-tahun mendatang sebahagian besarnya tidak berubah di tengah-tengah pertumbuhan kukuh ekonomi dan pasaran pekerjaan yang mantap.

Bagaimanapun, pasaran menyongsang rali berikutan pelabur cuba mencerna dan menimbang ke tahap mana ketiadaan perkataan "akomodatif" dalam kenyataan Rizab Persekutuan itu mencadangkan kitaran kenaikan kadar faedah mungkin sampai di penghujungnya.

Rizab Persekutuan menaikkan kadar pinjaman semalaman kepada 2.25 peratus.

"Orang ramai salah tafsir akan ketiadaan perkataan akomodatif dalam kenyataan itu," kata Ketua Strategi Pasaran JonesTrading, Mike O'Rourke.

Adalah dijangkakan Rizab Persekutuan akan menaikkan lagi kadar faedah pada Disember, tiga lagi kenaikan tahun depan, dan satu pada 2020.

Dow Jones Industrial Average ditutup 0.4 peratus lebih rendah pada 26,385.28 mata.

S&P 500 susut 0.33 peratus kepada 2,905.97.

Nasdaq Composite susut 0.21 peratus kepada 7,990.37.

Sejumlah 7.0 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.7 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - REUTERS

Berita Harian X