Khamis, 13 September 2018 | 9:21am

Saham Tokyo dibuka tinggi

TOKYO: Saham Tokyo dibuka lebih tinggi pagi ini, dipacu ketegangan perdagangan yang semakin reda antara Amerika Syarikat (AS) dan China, selain data ekonomi Jepun yang kukuh.

Penanda aras indeks Nikkei 225 menokok 0.80 peratus, atau 179.80 mata, kepada 22,784.41 pada awal dagangan.

Indeks meluas Topix naik 0.92 peratus, atau 15.49 mata, pada 1,706.81.

"Terdapat kemungkinan persengketaan perdagangan AS-China akan bergerak ke haluan positif," kata Makoto Sengoku, penganalisis pasaran di Tokai Tokyo Research Institute.

Wall Street Journal melaporkan Washington bercadang mengadakan pusingan kedua rundingan perdagangan dengan Beijing bagi menangani masalah sebelum pentadbiran Trump mengenakan lebih banyak tarif ke atas import China.

"Sekurang-kurangnya buat masa ini, ia petanda yang baik," kata Sengoku kepada AFP.

Nintendo naik 1.19 peratus kepada 39,810 yen dan SoftBank Group menokok 2.47 peratus kepada 10,755 yen. - AFP

Berita Harian X