Khamis, 13 September 2018 | 7:58am

Dow, S&P 500 ditutup lebih tinggi

NEW YORK: Indeks Dow Jones dan S&P 500 ditutup tinggi sedikit Rabu selepas laporan menyebut bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju untuk mengadakan pusingan baharu rundingan perdagangan antara kedua-dua negara.

Nasdaq pula susut susulan kejatuhan dalam Apple selepas ia mendedahkan iPhones baharu yang lebih besar saiznya tetapi hanya menawarkan perubahan kecil pada ciri-cirinya.

Pentadbiran Trump bersedia mengadakan pusingan baharu rundingan perdagangan dengan China dalam pada mana ia bersiap sedia untuk mengaktifkan tarif punitif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion, demikian menurut mereka yang hampir dengan perkara itu.

Saham sensitif perdagangan, termasuk Boeing, naik 2.4 peratus.

Saham Apple susut 1.2 peratus. Syarikat itu juga mendedahkan jam tangan berorientasikan kesihatan bersandarkan reka bentuk model semasa.

"Kelihatannya orang bosan melihat iWatch, iOs12 dan iPhone yang ditawarkan Apple," kata Daniel Morgan, naib presiden merangkap pengurus portfolio kanan di Synovus Trust Company di Atlanta.

Dow Jones Industrial Average menokok 27.86 mata, atau 0.11 peratus, kepada 25,998.92.

S&P 500 menambah 1.03 mata, atau 0.04 peratus, kepada 2,888.92.

Nasdaq Composite turun 18.25 mata, atau 0.23 peratus, kepada 7,954.23.

Sekitar 7.1 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.2 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters

Berita Harian X