Rabu, 12 September 2018 | 4:07pm

Tempoh tanpa cukai lonjak aktiviti pengedaran barangan

KUALA LUMPUR: Aktiviti perdagangan bagi sektor pengedaran mencatat rekod tertinggi baru pada Julai dengan peningkatan tahunan sebanyak 10.3 peratus kepada RM106.5 bilion.

Peningkatan itu direkodkan ketika tempoh peralihan pelaksanaan cukai apabila kerajaan meletakkan kadar sifar kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum beralih kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

MIDF Research dalam laporan ekonominya berkata, jualan runcit dan kenderaan bermotor juga mencatatkan rekod tertinggi baharu masing-masing sebanyak RM43.4 bilion dan RM13.9 bilion.

Di samping itu katanya, aktiviti pemborongan juga terus berkembang sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM49.2 bilion.

Laporan itu berkata, berdasarkan kenaikan bulanan, kedua-dua jualan runcit dan kenderaan bermotor meningkat sebanyak 1.7 peratus dan 6.5 peratus manakala aktiviti pemborongan menurun sebanyak 2.5 peratus.

“Seperti yang dijangkakan, pengguna terus berbelanja terutamanya pada barangan besar seperti kenderaan bermotor untuk menuai faedah tempoh tanpa cukai selama tiga bulan bermula pada 1 Jun lalu.

“Memandang kehadapan, kami meramalkan aktiviti pengedaran terus meningkat dengan ketara pada bulan Ogos kerana pengguna akan memilih untuk memanfaatkan sepenuhnya bulan terakhir tanpa cukai.

“Kesan limpahan positif ini daripada aktiviti perdagangan luaran yang teguh. Oleh kerana eksport terus berkembang sebanyak 9.4 peratus tahun ke tahun pada Julai lalu hingga tahap tertinggi baru direkodkan pada RM86.1 bilion, kesan susulan lain antaranya adalah jualan sektor pembuatan.

“Selaras dengan pertumbuhan eksport yang kukuh pada Jun, jualan sektor pembuatan meningkat 9.6 peratus tahun ke tahun untuk mencatatkan rekod tertinggi pada RM70 bilion. Oleh itu, pekerjaan dalam sektor ini pada bulan yang sama meningkat sebanyak 2 peratus kepada lebih daripada 1.1 juta orang,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan gaji sektor pembuatan terus berkembang dengan kukuh sebanyak dua digit pada 10.1 peratus tahun ke tahun kepada RM3.9 bilion pada Julai.

Katanya, pekerjaan dan gaji yang lebih baik sekaligus akan meningkatkan penggunaan domestik.

MIDF berkata, jualan sektor pengedaran dijangka meningkat bagi separuh kedua tahun ini kerana dalam tempoh tujuh bulan pertama, jualan pengedaran menunjukkan peningkatan sederhana sebanyak lapan peratus berbanding 9.4 peratus tempoh sama tahun lalu.

Bagi separuh kedua tahun ini, MIDF menjangkakan prestasi positif akan berterusan dalam jualan pengedaran yang disokong oleh kelembapan dalam inflasi, penstabilan pasaran pekerjaan dan perubahan dasar yang menyokong prestasi ini seperti GST dan penstabilan harga minyak runcit.

MIDF turut menganggarkan sektor penggunaan swasta dan perkhidmatan meningkat masing-masing sebanyak 6.5 peratus dan 6.2 peratus pada 2018.

“Prestasi menggalakkan pada tahun lalu dijangka berterusan pada tahun ini disokong oleh faktor ekonomi semasa yang kukuh dalam pasaran buruh termasuk kewujudan lebih banyak pekerjaan dan pertumbuhan gaji.

“Momentum yang kuat dalam aktiviti pengedaran akan menjadi pertumbuhan kukuh bagi sektor penggunaan swasta dan perkhidmatan sekaligus memacu ekonomi Malaysia ke kedudukan yang baik pada 2018.

“Selain itu, dasar ekonomi baru seperti pemansuhan GST dan harga bahan api runcit yang stabil memberikan ruang tambahan untuk penggunaan domestik terus meningkat sepanjang tahun.

“Bagaimanapun, perang perdagangan antara dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat bersama-sama dengan tindakan balas dari beberapa negara lain boleh menimbulkan ancaman kepada ekonomi Malaysia.” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X