Isnin, 20 Ogos 2018 | 3:33pm

RAM semak semula unjuran defisit kepada 3.2 peratus

KUALA LUMPUR: RAM Ratings menyemak semula unjuran defisit fiskal Malaysia 2018 kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih tinggi berbanding sasaran kerajaan sebelum ini iaitu 2.8 peratus.

Agensi penarafan itu berkata, manfaat fiskal diperoleh daripada proses rasionalisasi kos oleh kerajaan semasa serta pendapatan berkaitan minyak dan gas yang lebih tinggi, akan mengurangkan impak negatif pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta pengembalian subsidi harga runcit bahan api.

“Bagaimanapun, kerajaan masih boleh mencapai sasaran asal defisit fiskal pada 2.8 peratus daripada KDNK pada 2018, mengambil kira kemungkinan hasil dividen lebih tinggi daripada entiti berkaitan kerajaan dan pendekatan pragmatik bagi melaksanakan beberapa perubahan dasar ikrar 100 hari Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi beberapa tahun akan datang, defisit fiskal Malaysia dijangka kekal terkawal sekitar tiga peratus daripada KDNK berikutan kekangan pendapatan dan kos-kos penting membabitkan pelbagai janji pilihan raya.

Mengikut RAM Rating, dengan memenuhi janji ini termasuk skim perubatan isi rumah terpinggir, pengembalian semula subsidi bahan bakar runcit dan pengenalan sistem pembayaran bersama untuk kenaikan upah dan pencen suri rumah (program Insentif Suri), ia dijangka menyumbang 0.8 peratus kepada KDNK dan mempercepat pertumbuhan perbelanjaan fiskal jangka masa panjang.

Potensi pembayaran pampasan walaupun semakan semula projek infrastruktur mega dilakukan, dan perkembangan jangka panjang membabitkan tol lebuh raya, berkemungkinan turut meningkatkan kos.

Selain itu, tahap dan struktur hasil fiskal Malaysia juga akan terus menjadi isu.

Tahap pendapatan fiskal pada kadar purata 15.7 peratus daripada KDNK 2018 adalah rendah berbanding negara serantau (Thailand: 21.1 peratus, Singapura: 20.2 peratus).

Selain itu, strukur pendapatan negara akan lebih menumpukan kepada hasil berkaitan minyak dan gas (19.0 peratus daripada keseluruhan hasil 2018), peningkatan 15.7 peratus daripada anggaran, susulan penggantian GST kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menghasilkan kuantum hasil fiskal yang sama

“Ini akan meningkatkan turun naik pendapatan Malaysia kerana ia lebih terdedah kepada harga bahan api dan pergerakan kadar pertukaran mata wang, dengan kedua-duanya akan memberi kesan dalam jangka masa terdekat ekoran kemungkinan meningkatnya perang perdagangan global tahun ini.

“Pada pendapat kami, penyelesaian yang berpotensi mungkin terletak pada semakan menyeluruh regim cukai semasa,” menurut RAM.

Hutang lembaran imbangan kerajaan sebanyak RM725.2 billion (52.1 peratus daripada KDNK) setakat akhir suku kedua 2018, meningkat berbanding RM686.6 bilion (50.8 peratus kepada KDNK), juga lebih tinggi dalam kalangan negara serantau.

Sehingga akhir 2017, jumlah hutang jaminan kerajaan yang belum dijelaskan berjumlah RM238.2 bilion, dengan RAM berpendapat sebahagiannya tidak memberikan risiko kepada kedudukan fiskal

Tambahan pula, kerajaan baharu telah memasukkan RM201.4 bilion (atau 14.9 peratus KDNK) pembayaran PPP sebagai sebahagian daripada pengiraan hutang.

Hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan hutang berjumlah RM200 bilion mencerminkan orientasi fiskal jangka masa panjang dan ia dilihat positif.

Menurut RAM, kerajaan berhasrat mencapai sasaran pengurangan hutang negara melalui penjualan aset bukan terasnya dalam jangka masa pendek.

“Bagi jangka masa panjang, pengurangan kos bagi projek berinfrastruktur tinggi akan membendung sebarang kenaikan keberhutangan akan datang.

“Walaupun risiko pelaksanaan dan pasaran yang dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti ini dijangka membimbangkan, pengurangan beban hutang Malaysia akan memperbaiki kemampanan fiskal jangka masa panjang,” katanya.

Keupayaan pembayaran hutang negara agak lemah, kerana ia dijangka membelanjakan kira-kira 13.7 peratus daripada hasil pembayaran perkhidmatan hutang pada 2018 ( 2017: Thailand, 4.8 peratus; Indonesia: 13.1 peratus).

Penarafan Malaysia di peringkat global, skala kebangsaan ASEAN dan Malaysia pada gA2/stabil/gP1, seaAAA/stabil/seaP1 and AAA/stabil/P1, kekal disokong oleh makroekonomi yang kukuh, namun menjadi sederhana oleh metrik fiskal yang lemah.

Kebimbangan utama RAM ialah pertumbuhan pelaburan domestik yang perlahan susulan perubahan dasar baru-baru ini, potensi peningkatan hutang kepada nisbah pendapatan dan perkhidmatan hutang akibat ketiadaan sumber pendapatan baharu serta kurangnya daya tarikan dalam kecekapan keuntungan fiskal yang diperoleh daripada proses rasionalisasi kos yang berterusan. – Bernama

Berita Harian X