Ahad, 19 Ogos 2018 | 3:56pm

Kadar OPR dijangka kekal tahun ini dan tahun depan

KUALA LUMPUR: AmBank Research menurunkan unjuran kadar Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Malaysia untuk tahun 2018 kepada antara 4.8-5.0 peratus daripada 5.3-5.6 peratus sebelum ini.

Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata semakan semula unjuran KDNK yang dibuat oleh firma penyelidikan itu adalah sejajar dengan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) yang turut menyemak semula kepada 5.0 peratus untuk tahun 2018, daripada 5.5-6.0 peratus sebelum ini.

Katanya, pertumbuhan KDNK suku kedua (SK2) 2018 sebanyak 4.5 peratus adalah di bawah jangkaan dibandingkan yang dicatatkan suku sama tahun lalu iaitu 5.6 peratus, disumbangkan terutamanya oleh penurunan pertumbuhan sektor perlombongan dan pertanian.

“Tetapi sisi positifnya ialah perbelanjaan swasta menunjukkan prestasi baik yang menyaksikan permintaan secara agregat meningkat 5.6 peratus untuk tahun ke tahun (YoY), yang sejajar dengan jangkaan kami pada SK2 2018 dengan eksport bersih naik 1.7 peratus YoY,” katanya kepada NSTP Bisnes.

Mengulas lanjut Anthony berkata, eksport akan terus menyumbang bagi memastikan ekonomi negara mengekalkan pertumbuhannya pada tahun ini, di sebalik perang perdagangan yang sedang berlaku dan unjuran pertumbuhan ekonomi global kekal pada kadar 3.6 peratus.

“Selain daripada sumbangan permintaan domestik terutamanya daripada perbelanjaan swasta, ia akan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan. Meningkatkan sentimen perniagaan dan pengguna akan memacu perbelanjaan swasta.

“Justeru kami menjangkakan dasar monetari untuk kekal akomodatif, dengan kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 3.25 peratus," katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan Nomura, turut senada dengan menjangkakan BNM tidak akan mengubah kadar OPR untuk tahun ini dan tahun depan.

Selain itu, ia turut mengingatkan risiko penurunan unjuran ekonomi Malaysia untuk tahun ini, susulan kadar KDNK suku kedua yang tidak dijangka pada 4.5 peratus.

“Kami melihat risiko penurunan terhadap unjuran pertumbuhan KDNK kami sebanyak 5.1 peratus untuk 2018, yang mana akan menunjukkan kelembaban berbanding 5.9 peratus pada 2017.

“Unjuran kami sudah pun di bawah unjuran konsensus 5.3 peratus dan hampir kepada semakan semula unjuran BNM 5.0 peratus daripada 5.5-6.0 peratus sebelum ini,” katanya.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata unjuran KDNK oleh BNM itu sesuatu yang munasabah kerana bank pusat itu masih tidak tahu secara tepat bagaimana perang perdagangan yang digerakkan oleh AS akan berlaku akan datang.

"Kami menyedari indeks Indeks Pengurus Pembelian (PMI) global pembuatan telah menyusut sejak Disember tahun lalu dan tempoh kesan sebenar pengetatan monetari di AS sudah tentu akan memberi impak kepada pertumbuhan global nanti," katanya.

Mohd Afzanizam menambah, semakan semula unjuran KDNK itu akan memberi ruang kepada kerajaan mengenai bagaimana ia harus menggerakkan sumbernya terutama pada perbelanjaan pembangunan.

"Pada masa sama, ia harus menyampaikan isyarat tepat kepada orang ramai mengenai bagaimana mereka harus menguruskan kewangan mereka," katanya.

Berita Harian X