Jumaat, 10 Ogos 2018 | 8:12am

S&P 500, Dow rendah, Nasdaq hampiri rekod tertinggi baharu

NEW YORK: S&P 500 dan Dow ditutup lebih rendah berikutan kenaikan dalam Apple dan Amazon ditenggelami kejatuhan dalam saham tenaga dan kewangan.

Saham Tesla Inc juga susut pada paras terendah dua hari dan memadamkan kesemua kenaikan susulan tweet Ketua Pegawai Eksekutif Elon Musk baru-baru ini yang mengumumkan rancangan untuk mengeluarkan syarikat itu daripada senaraian awam.

Saham Tesla ditutup 4.8 peratus lebih rendah.

S&P 500 berada dalam wilayah yang agak positif sepanjang hari, meletakkannya sekali lagi menghampiri rekod tertinggi yang di cecah 26 Januari.

Nasdaq juga menghampiri rekod tertinggi baharu.

Sektor teknologi yang naik ketara kebelakangan ini menyaksikan harga saham Apple menokok 0.8 peratus, manakala Amazon naik 0.6 peratus.

Menerajui penyusutan sektor ialah indeks tenaga S&P, yang susut 0.9 peratus. Occidental Petroleum turun 4.2 peratus selepas mengekalkan unjuran pengeluaran untuk tahun ini. Indeks kewangan S&P turun 0.6 peratus.

Dow Jones Industrial Average susut 74.52 mata, atau 0.29 peratus, kepada 25,509.23.

S&P 500 turun 4.12 mata, atau 0.14 peratus, kepada 2,853.58.

Nasdaq Composite menambah 3.46 mata, atau 0.04 peratus, kepada 7,891.78.

Sejumlah 5.9 bilion saham bertukar tangan berbanding 6.3 bilion purata dagangan 20 hari sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X