X
Khamis, 26 Julai 2018 | 3:07pm

KDNK Malaysia cecah RM1.353 trilion pada 2017

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia terus berkembang pada 2017 dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa mencapai RM1.353 trilion, meningkat 9.9 peratus daripada RM1.231 trilion pada 2016.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pengembangan KDNK diterajui Lebihan Kendalian Kasar (LKK) yang mencatat RM813.0 bilion (2016: RM732.6 bilion) manakala Pampasan Pekerja (PP) berjumlah RM475.7 bilion, peningkatan 9.6 peratus dari 2016.

Dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini, beliau berkata cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import kukuh pada RM64.7 bilion (2016: RM64.4 bilion).

Sementara itu, LKK yang meningkat 11 peratus dari 2016 kekal penyumbang terbesar dalam komponen pendapatan dengan 60.0 peratus (2016: 59.5 peratus) manakala sumbangan PP kepada ekonomi Malaysia mencatatkan 35.2 peratus dan berkembang 9.6 peratus, yang sebahagian besar didorong sektor perkhidmatan dan pembuatan, katanya.

Beliau berkata, cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import dengan pertumbuhan marginal 0.5 peratus selepas mencatatkan 15.7 peratus pada 2016, menyumbang 4.8 peratus (2016: 5.2 peratus) kepada keseluruhan pendapatan.

Mohd Uzir berkata, bagi PP, perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan PP Malaysia dengan menjana 60.0 peratus (2016: 60.7 peratus) manakala sumbangan pembuatan berkembang kepada 23.2 peratus berbanding 22.7 peratus pada 2016. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X