Rabu, 11 Julai 2018 | 5:53pm
- Gambar hiasan

Harga minyak global susut

LONDON: Harga minyak global menyusut pada Rabu susulan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut untuk mengenakan tarif baharu terhadap China, sekali gus meningkatkan pertikaian dagangan.

Ia dijangka akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan menyebabkan permintaan tenaga menurun.

Kebimbangan penambahan tarif ke atas barangan China berjumlah AS$200 bilion menyebabkan kejatuhan pasaran saham dan komoditi, apabila ketegangan antara kedua-dua negara berkenaan semakin meningkat.

Minyak mentah penanda aras Brent menyusut AS$1.15 kepada AS$77.71 satu tong pada 0735 GMT. Minyak mentah light AS menyusut 40 cents kepada AS$73.71.

"Kebimbangan perdagangan memberi kesan di pasaran.

"Sekiranya tarif ini dilaksanakan, ia akan memberi kesan terhadap pertumbuhan dan permintaan global," kata ketua strategi pasaran CMC Markets, Michael McCarthy.

Suasana pasaran lemah itu juga didorong oleh laporan bahawa AS akan mempertimbangkan pengecualian sekatan berikutan kesan yang dialami ke atas eksport minyak mentah Iran.

Washington akan mempertimbangkan permintaan daripada beberapa negara yang mahu dikecualikan daripada sekatan itu yang akan berkuatkuasa pada November ini bagi menghalang Iran daripada mengeksport minyak, kata Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo semalam.

Washington sebelum ini berkata, semua import minyak dari Iran perlu dihentikan bermula 4 November atau menghadapi langkah-langkah kewangan AS tanpa pengecualian.

Prospek sekatan ke atas eksport minyak Iran, pengeluar minyak kelima terbesar dunia, membantu mendorong kenaikan harga minyak dalam tempoh beberapa minggu dengan kedua-dua kontrak minyak mentah didagangkan pada paras tinggi tiga tahun setengah.

-- REUTERS

Berita Harian X