Isnin, 9 Julai 2018 | 12:41pm

BNM dijangka kekal kadar faedah

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), yang menjadi petunjuk kadar faedah pinjaman tempatan pada mesyuarat minggu ini.

Bank pusat itu dijadualkan mengumumkan keputusan dasar monetarinya pada Rabu ini.

Standard Chartered dalam laporan data Asia berkata, penguatkuasaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Jun lalu berkemungkinan membolehkan berlaku penurunan sekali saja inflasi.

"Bagaimanapun, BNM dijangka melihat kepada ketidaktentuan terdahulu inflasi dan memberikan fokus terhadap pertumbuhan dalam membuat keputusan dasar monetari.

"Kami mengekalkan saranan status-quo bagi 2018, dengan menjangkakan pertumbuhan sederhana berbanding paras yang kukuh pada 2017, namun ia kekal teguh," kata bank antarabangsa itu.

Pada Januari lalu, bank pusat itu menaikkan kadar penanda arasnya buat kali pertama sejak Julai 2014, dalam usaha menormalkan dasar menjelang PRU-14.

Mesyuarat minggu ini juga adalah kali pertama BNM akan mengumumkan keputusan dasar monetarinya di bawah kepimpinan Gabenor baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Mengulas lanjut, Standard Chartered berkata potensi risiko kepada saranan mengekalkan status quo kadar faedah tempatan ialah jika ringgit berdepan penyusutan nilai ketara berikutan sentimen risiko lebih meluas.

"Ia boleh menyebabkan keperluan kepada bank pusat menaikkan kadar faedah bagi mengekalkan kestabilan tukaran asing," katanya.

Sementara itu, Standard Chartered berkata pengeluaran industri dijangka susut pada bulan Mei berikutan hari bekerja lebih rendah.

Jabatan Perangkaan dijangka mengeluarkan data pengeluaran industri Khamis ini.

"Kami menjangkakan pengeluaran industri berkembang 2.8 peratus berbanding 4.6 peratus pada April, disebabkan tiga hari bekerja lebih rendah tahun ini berbanding tahun lalu, memandangkan hari mengundi dan dua hari selepasnya diisytiharkan cuti umum.

"Kami menjangkakan sektor perlombongan disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, disebabkan harga minyak lebih tinggi. Namun, sektor ini mungkin dipengaruhi oleh penurunan 7.8 peratus pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) berikutan harga MSM lebih rendah.

"Pengeluaran kereta penumpang pula susut 7.5 peratus berbanding tahun lalu dan berkemungkinan turut menjejaskan pertumbuhan pengeluaran industri keseluruhan," katanya.

Berita Harian X