Jumaat, 22 Jun 2018 | 5:36pm

Harga minyak global meningkat

SINGAPURA: Harga minyak meningkat lebih satu peratus pada Jumaat, didorong oleh ketidakpastian sama ada Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) akan bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran pada mesyuarat di Vienna.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$74.02 satu tong pada 0645 GMT, naik 97 cents atau 1.3 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$66.37 satu tong, naik 84 cents, atau 1.3 peratus.

Ahli OPEC serta pengeksport utamanya dan ketua de-facto pakatan itu, Arab Saudi mengadakan mesyuarat bersama ahli bukan OPEC termasuk pengeluar minyak terbesar, Russia, bagi membincangkan mengenai kadar pengeluaran minyak.

Pakatan itu mula mengekang pengeluaran minyak pada 2017 untuk meningkatkan harga.

Tahun ini, di tengah-tengah permintaan kukuh, pasaran menjadi semakin sempit sekali gus menyebabkan harga meningkat dan permintaan daripada pengguna melonjak mengakibatkan bekalan minyak perlu ditambah.

Arab Saudi dan Russia dilihat menyokong tindakan meningkatkan pengeluaran, namun ahli OPEC yang lain termasuk Iran menentang usul itu, menyebabkan hasil mesyuarat itu susah untuk dijangka.

Delegasi OPEC berkata, tidak semua ahli OPEC dijangka akan bersetuju usul oleh Arab Saudi dalam meningkatkan pengeluaran sehingga sejuta tong sehari (bpd).

"Jangkaan angka yang akan dipersetujui untuk peningkatan pengeluaran adalah antara 450,000 hingga 750,000 bpd," kata Bank Pelaburan AS, Jefferies.

-- REUTERS

Berita Harian X