Jumaat, 20 April 2018 | 8:17am

Wall Street ditutup rendah

NEW YORK: Tiga indeks utama Wall Street mencatat penurunan diterajui penyusutan saham berkaitan tembakau.

Indeks juga dipengaruhi kebimbangan berhubung permintaan telefon pintar yang memberi kesan negatif kepada sektor teknologi.

Pengeluar rokok Philip Morris International Inc adalah penyumbang utama kepada kejatuhan indeks S&P selepas mencatat keputusan kewangan lebih lemah daripada jangkaan.

Amaran daripada Taiwan Semiconductor (TSMC), pengeluar cip terbesar dunia yang juga pembekal Apple Inc, berhubung permintaan yang semakin lemah bagi telefon pintar dan unjuran pertumbuhan tahun ini mencetuskan kejatuhan dalam saham berkaitan cip.

Dow Jones Industrial Average turun 83.18 mata, atau 0.34 peratus, kepada 24,664.89.

S&P 500 susut 15.51 mata, atau 0.57 peratus, kepada 2,693.13.

Nasdaq Composite turun 57.18 mata, atau 0.78 peratus, kepada 7,238.06.

Segmen pengguna S&P menerajui penurunan indeks itu, ditutup 3.2 peratus lebih rendah, diterajui kejatuhan 15.6 peratus dalam Philip Morris.

Altria, syarikat indeks Philip Morris USA, turun enam peratus.

Saham Procter & Gamble susut 3.3 peratus selepas ua berkata penyusutan inventori peruncitan, dan kos komoditi dan pengangkutan lebih tinggi memberi kesan kepada marjin keuntungan.

Saham Apple turun 2.8 peratus, menjadikannya kaunter paling rugi pada S&P 500.

Sejumlah 6.52 bilion saham bertukar tangan, berbanding 6.98 bilion purata 20 sesi dagangan sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X