Khamis, 5 April 2018 | 8:48am
GAMBAR fail, Pasaran Saham New York. - Foto AFP
GAMBAR fail, Pasaran Saham New York. - Foto AFP

Wall Street ditutup tinggi

NEW YORK: Tiga indeks utama Wall Street ditutup lebih tinggi berikutan pelabur memberi lebih tumpuan kepada laporan kewangan syarikat berbanding konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selepas pelabur meninggalkan pasaran pada sesi dagangan pagi disebabkan China mengenakan tarif sebagai tindak balas ke atas AS, kebimbangan itu reda pada sesi petang selepas penasihat ekonomi pentadbiran Donald Trump, Larry Kudlow berkata kerajaan sedang berunding dengan China dan bukannya perang perdagangan.

Pelabur berasa lega tarif tidak berkuat kuasa serta merta.

"Kami mula merasai pasaran bencikan ketidaktentuan, salakan Trump lebih buruk daripada gigitan sebenar," kata Robert Phipps, pengarah di Per Stirling Capital Management di Austin, Texas.

Beliau berkata, prestasi syarikat akan lebih menjadi tumpuan pelabur.

Dow Jones Industrial Average menokok 230.94 mata, atau 0.96 peratus, untuk ditutup pada 24,264.30.

S&P 500 menambah 30.24 mata, atau 1.16 peratus, kepada 2,644.69.

Nasdaq Composite naik 100.83 mata, atau 1.45 peratus, kepada 7,042.11.

Sejumlah 7.04 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.3 bilion purata dagangan 20 hari sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X