Khamis, 29 March 2018 | 10:11am

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi hari ini, didorong minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih dan sentimen tempatan yang lebih baik.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan 1.93 mata lebih tinggi kepada 1,859.80 berbanding 1,857.87 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 1.47 mata lebih tinggi kepada 1,859.34.

Lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung sebanyak 124 berbanding 68 kaunter rugi, manakala 159 kaunter tidak berubah, 1,560 kaunter tidak diniagakan dan 57 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 94.46 juta unit bernilai RM27.00 juta.

Pada Rabu, dilaporkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan keyakinan ke atas unjuran 2018 bagi ekonomi Malaysia dengan jangkaan keadaan makroekonomi dunia yang positif akan terus mewujudkan permintaan luaran dan domestik yang menggalakkan.

BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi berkembang antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus tahun ini, berbanding 5.9 peratus pada 2017.

"Berdasarkan prestasi kukuh yang berterusan, ekonomi Malaysia berada di landasan untuk​​​​​​​ mencatat pertumbuhan​​​​​​ yang tatau melebihi enam peratus pada tahun ini," kata Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dalam​​​​​​​ jangka pendek memandangkan prestasinya bergantung kepada jangkaan perkembangan perbincangan perdagangan di Amerika Syarikat.

"Pelabur sewajarnya kekal berhati-hati dalam keadaan pasaran tidak menentu dan menunggu paras melepasi 1,880 yang seterusnya dijangka bergerak kepada paras 1,910. Sebaliknya, sebarang kecenderungan negatif akan menyaksikan indeks tersebut berada pada 1,840 dan 1,800," menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM10.50, RM23.96, RM7.17 dan RM8.25, manakala Tenaga meningkat empat sen kepada RM15.84.

Saham aktif, DBE tidak berubah pada 3.5 sen sementara Sapura Energy dan Trive masing-masing menokok setengah sen kepada 50.5 sen dan 3.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 16.20 mata kepada 13,009.05, Indeks FBMT 100 bertambah 16.88 mata​​​​​​​ kepada 12,804.92 dan FBM 70 meningkat 32.66 mata kepada 15,483.24.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 18.85 mata kepada 13,178.77 dan FBM Ace naik 36.75 mata​​​​​​​ kepada 5,510.77.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 6.43 mata kepada 18,147.94, Indeks Perladangan bertambah​​​​​​​ 6.66 mata kepada 8,013.58 dan Indeks Perusahaan meningkat​​​​​​​ 4.87 mata kepada 3,234.12.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X