Khamis, 8 March 2018 | 7:41am

Dow Jones ditutup rendah

NEW YORK: Indeks S&P 500 ditutup lebih rendah kerana pelabur belum betul-betul faham berhubung dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) berikutan Donald Trump yang sebelum ini bertekad akan mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium kini berkata Mexico dan Kanada mungkin dikecualikan.

Selepas jatuh serendah 0.97 peratus, S&P mengukuh sedikit selepas Rumah Putih mula memberikan pengecualian kepada cadangan awal untuk mengenakan tarif import 25 peratus ke atas keluli dan 10 peratus ke atas aluminium.

Kebimbangan berlakunya perang perdagangan bertambah runcing selepas penyokong tegar perdagangan bebas Gary Cohn meletak jawatan sebagai ketua penasihat ekonomi Trump pada Selasa.

Dow Jones Industrial Average susut 82.76 mata, atau 0.33 peratus, untuk ditutup pada 24,801.36.

S&P 500 turun 1.32 mata, atau 0.05 peratus, kepada 2,726.8.

Nasdaq Composite pula menambah 24.64 mata, atau 0.33 peratus, kepada 7,396.65.

Dow Jones ditarik turut sebahagiannya oleh saham pembuatan seperti Caterpillar, yang turun 1.5 peratus, dan Boeing yang ditutup 0.5 peratus lebih rendah.

Sebagai rekod, S&P 500 mencatat 14 paras tertinggi 52 minggu baharu dan tiga terendah; Nasdaq Composite pula mencatat 147 paras tertinggi baharu dan 19 terendah.

Sekitar 6.74 bilion saham bertukar tangan, berbanding 7.79 bilion purata 20 sesi dagangan sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X