Khamis, 22 Februari 2018 | 2:59pm

Bursa Malaysia rendah akhiri sesi pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah semasa akhir sesi pagi hari ini dengan dagangan berhati-hati dan berjulat kecil, susulan aktiviti penjualan dalam saham wajaran tinggi terpilih didahului Tenaga, malah turut seiring dengan penurunan di bursa serantau.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.35 mata kepada 1,856.82 daripada 1,858.17 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu bergerak antara 1,854.03 dan 1,860.01 sepanjang sesi pagi selepas dibuka 3.92 mata lebih rendah kepada 1,854.25.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 450 berbanding 340, manakala 388 kaunter tidak berubah, 724 kaunter tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.48 bilion saham bernilai RM841.63 juta.

Peniaga berkata, bursa tempatan terus diniagakan berhati-hati dan dalam dagangan kecil, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman di Wall Street yang lemah berikutan pelabur ​​​​​mempertimbangkan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan semalam.

FOMC memberi petanda bahawa ia optimis terhadap pertumbuhan ekonomi AS lebih kukuh berbanding jangkaan tahun ini, selain dijangka lebih banyak kenaikan kadar faedah seterusnya.

"Laporan Rizab Persekutuan AS itu menimbulkan semula kebimbangan terhadap inflasi dan peningkatan hasil bon. Hasil Perbendaharaan jangka pendek AS melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir sedekad dan meningkatkan mata wang negara maju itu," katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Tenaga susut 10 sen kepada RM15.60, Public Bank naik enam sen kepada RM22.20, manakala Maybank, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM10.18, RM7.13 dan RM8.14.

Antara saham aktif, AirAsia X naik 1.5 sen kepada 42 sen, waran Toyoinh meningkat 12 sen kepada 12.5 sen, PDZ dan DGB Asia masing-masing bertambah satu sen kepada sembilan dan 17.5 sen, dan waran PDZ menokok setengah sen kepada lima sen.

Indeks FBM Emas naik 3.40 mata kepada 13,285.68, Indeks FBMT 100 meningkat 3.76 mata kepada​​​​​​ 12,984.12, FBM 70 melonjak 49.24 mata kepada 16,384.37 dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 10.77 mata kepada 13,611.53.

FBM Ace kurang 24.62 mata kepada 6,364.52.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan naik 4.48 mata kepada 3,263.95, Indeks Perladangan meningkat 34.64 mata kepada 8,093.36 dan Indeks Kewangan bertambah 12.30 mata kepada 17,881.10.

-- BERNAMA

Berita Harian X