Rabu, 24 Januari 2018 | 8:30pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Azhar Ramli
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Azhar Ramli

Negara anggota TPP dijangka muktamad perjanjian Mac ini

KUALA LUMPUR: Negara anggota Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) dijadual memuktamadkan perjanjian baharu tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS), yang dipanggil Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Mac ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Chile menawarkan untuk menjadi tuan rumah untuk majlis pemeteraian perjanjian itu, namun tarikh berkenaan perlu disahkan secara rasmi oleh menteri-menteri CPTPP terlebih dulu.

"Malaysia percaya CPTPP adalah perjanjian berkualiti tinggi - dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang digabungkan sebanyak AS$11 trilion (13 peratus daripada KDNK global), 476 juta penduduk dan 15 peratus daripada jumlah perdagangan global.

"Pemeteraian perjanjian ini akan menjadi rangsangan penting kepada perdagangan global dan ia akan membuka pintu bagi syarikat Malaysia untuk mengembangkan kehadiran mereka di pasaran luar negara," katanya dalam kenyataan media berhubung penyelesaian CPTPP di Tokyo.

Ketua Perunding dari 11 negara CPTPP bertemu di Tokyo pada Isnin dan Selasa lalu, sebagai susulan daripada Mesyuarat Menteri yang diadakan di Da Nang, Vietnam pada 10 November tahun lalu.

Mustapa berkata, mesyuarat Tokyo adalah satu kejayaan, di mana semua negara anggota mencapai persetujuan mengenai empat isu khusus membabitkan negara.

Beliau berkata, pertamanya adalah berkenaan syarikat milik negara iaitu permintaan Malaysia untuk kelonggaran tambahan untuk melakukan pembelian istimewa bagi sektor minyak dan gas huluan, di mana komitmen untuk mengehadkan tempoh peralihan kini akan bermula pada tarikh mula berkuat kuasa, bukan tarikh menandatangani mengikut susunan sebelumnya.

Perkara kedua katanya adalah membabitkan akses pasaran untuk industri arang batu, ketiga mengenai sekatan perdagangan yang berkaitan dengan penyelesaian pertikaian dan keempat mengenai pengecualian kepada industri kebudayaan.

"Isu-isu ini sepatutnya diselesaikan kemudian. Sebelum mesyuarat Tokyo, terdapat 20 peruntukan yang akan digantung di bawah CPTPP.

"Penggantungan itu bermakna peruntukan terbabit tidak akan dilaksanakan buat sementara waktu, sehingga semua negara anggota CPTPP bersetuju untuk menamatkannya," katanya.

Mustapa berkata, mesyuarat Tokyo bersetuju untuk menambah dua lagi penggantungan ke dalam senarai, menjadikannya 22 penggantungan keseluruhannya.

"Satu daripadanya adalah mengenai kelonggaran tambahan untuk Malaysia dalam sektor minyak dan gas, selepas usaha gigih dan perdebatan konsisten yang dikemukakan oleh pasukan rundingan kita mengenai perkara itu. Satu lagi adalah akses pasaran bagi industri arang batu Brunei," katanya.

Beliau berkata, teks Bahasa Inggeris untuk perjanjian sudah dimuktamadkan dan ia akan dikeluarkan selepas disiapkan dan pengesahan terhadap teks yang sama dalam bahasa Perancis dan Sepanyol, yang dijangka beberapa minggu akan datang.

Beliau berkata, bagi rakyat Malaysia secara umumnya, CPTPP akan memberi manfaat dari segi memperluaskan pilihan pengguna terhadap barangan dan perkhidmatan di pasaran.

"Kami menjangkakan tambahan pekerjaan akan diwujudkan hasil daripada pelaburan selanjutnya yang akan hadir kerana persekitaran perdagangan dan pelaburan yang lebih baik di bawah CPTPP.

"Kami berpuas hati dengan hasil mesyuarat ini dan perunding kami sekali lagi berjaya mempertahankan kepentingan Malaysia," katanya.

Mustapa berkata, beliau akan membentangkan hasil mesyuarat itu kepada Kabinet untuk pertimbangan dan meneruskan proses rundingan dengan pihak berkepentingan yang relevan jika Kabinet memutuskan untuk memberikan kelulusannya.

Berita Harian X