Rabu, 24 Januari 2018 | 1:35pm
PREETI Saran (kanan) pada taklimat dengan sekumpulan media asing.
PREETI Saran (kanan) pada taklimat dengan sekumpulan media asing.

ASEAN bantu India jadi kuasa ekonomi

NEW DELHI: Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain dianggap sebagai elemen penting untuk melonjakkan status India sebagai satu kuasa ekonomi baharu di Asia.

Firasat itu diluahkan Setiausaha (Timur), Kementerian Luar Negara, Preeti Saran yang melihat pertalian diplomatik New Delhi dengan 10 negara dari rantau ini dapat menjadi jambatan penghubung untuk merealisasikan hajat itu.

Selepas 25 tahun menjadi rakan ASEAN, baik dari segi perdagangan dan aspek lain, termasuk isu keselamatan, beliau mahu kerjasama dapat ditingkatkan lagi bagi menguntungkan semua pihak ketika cabaran global makin bertambah.

"Sejak dua tahun lalu kita semua seperti kurang aktif dan objektif asal harus dimantapkan untuk membina satu keyakinan sesama kita sebagai rakan dagangan yang menyentuh aspek ekonomi secara menyeluruh.

"Kita juga perlu membina semangat persaudaraan ketika ciri-ciri kebudayaan kita hampir sama. Faktor ini harus memudahkan lagi urusan kita," katanya dalam taklimat mengenai perhubungan ASEAN-India kepada wartawan asing di New Delhi.

Sejumlah 20 wartawan dan pengarang dari ASEAN menyertai Program Pertukaran Media sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India 2018 yang sedang berlangsung sekarang di sini.

Preeti melihat perhubungan antara dua pihak ini mempunyai prospek besar dan ketika sama mengingatkan kerjasama itu bukan terarah kepada kepentingan yang hanya menguntungkan India dari segi perdagangan, malah memastikan 'setiap negara terbabit dalam pakatan ini' dapat merasai pulangan baik.

"India sentiasa anggap Malaysia dan negara ASEAN lebih dekat dengan kami berbanding negara lain. Pertumbuhan ekonomi India sudah meningkat tujuh peratus setiap tahun dan antara faktor ini adalah juga kerana kerjasama dan sumbangan ASEAN.

"India sedia bergandingan untuk melindungi rakan kami ini dan juga meningkatkan perniagaan dan ekonomi negara ASEAN. Ketika sama adalah juga penting bagi kami memberi kerjasama untuk menjadi laluan perdagangan di Laut China Selatan berjalan lancar," katanya.

ASEAN membabitkan Indonesia, Singapura, Filipina, Malaysia, Brunei, Thailand, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam dan India melihat pertalian ini sebagai satu senario ekonomi dan politik dunia yang sudah membawa perubahan sejak awal 1990-an.

Bagi India, bantuan dari anggota ASEAN amat penting bagi mengimbangi kemaraan China yang sudah menguasai ekonomi serantau pada kadar amat pantas ketika ini sehingga mengancam mampu mengatasi ekonomi Eropah dan Amerika Syarikat.

Kerjasama ekonomi, dari segi perhubungan perdagangan dan pelaburan berkembang baik dengan ASEAN menjadi rakan perdagangan India yang keempat terbesar pada ketika ini.

Berita Harian X