Isnin, 8 Januari 2018 | 6:35pm
BURSA Malaysia terus mencatat peningkatan dengan indeks utama meningkat tinggi hari ini. - Foto hiasan
BURSA Malaysia terus mencatat peningkatan dengan indeks utama meningkat tinggi hari ini. - Foto hiasan

Bursa ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus mencatat peningkatan dengan indeks utama meningkat tinggi hari ini, didorong oleh faktor luaran yang mantap, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatat paras tertinggi harian pada 1,832.15, meningkat 14.18 mata berbanding 1,817.97 pada penutupan Jumaat selepas dibuka 1.77 mata lebih tinggi pada 1,819.74.

Pasaran bergerak antara 1,813.03 dan 1,832.15 di sepanjang hari.

Mengetuai kaunter berkaitan indeks yang mencatat keuntungan ialah Petronas Gas yang meningkat 84 sen kepada RM19.20, diikuti Petronas Dagangan yang menokok 46 sen kepada RM25.16, Hong Leong Bank menambah 40 sen kepada RM17.60, TNB meningkat 28 sen kepada RM15.70 manakala KLK menambah 24 sen kepada RM25.12.

Seorang peniaga berkata, saham berkaitan minyak dan gas menerima rangsangan terbesar daripada peningkatan harga minyak berikutan penurunan jumlah cari gali minyak oleh Amerika Syarikat.

Beliau berkata, kontrak hadapan minyak mentah Brent, penentu trend bagi harga minyak dunia mencatatkan AS$67.77 setong, meningkat 0.2 peratus berbanding penutupan sebelum itu.

Beliau berkata pasaran saham tempatan juga mengambil petunjuk daripada pasaran serantau dengan saham-saham Asia meningkat ke paras tertinggi selepas peningkatan terbaik di Wall Street dalam tempoh sedekad.

Bagi kaunter aktif, Sapura Energy meningkat 16.5 sen kepada 97.5 sen, UMW O&G melonjak 4.5 sen kepada 45.5 sen, PA Resources menokok satu sen kepada 10.5 sen, XOX meningkat 1.5 sen kepada 12 sen dan Sumatec Resources menambah setengah sen kepada enam sen.

Indeks FBM Emas meningkat 150.1 mata kepada 13,315.51, Indeks FBMT 100 menambah 136.811 mata kepada 12,946.49, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 196.46 mata kepada 13,807.2, FBM 70 meningkat 299.74 mata kepada 16,792.35 manakala FBM Ace menambah 103.96 mata kepada 6,997.93.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 154.191 mata kepada 17,240.47, Indeks Perusahaan meningkat 44.13 mata kepada 3,436.31, manakala Indeks Perladangan menokok 89.63 mata kepada 8,094.39.

Secara keseluruhannya kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 853 berbanding 312, manakala 327 kaunter tidak berubah, 323 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 6.96 bilion unit bernilai RM4.58 bilion berbanding 5.84 bilion saham bernilai RM3.94 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.81 bilion unit bernilai RM4.23 bilion berbanding 3.84 bilion unit bernilai RM3.611 bilion pada jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.17 bilion saham bernilai RM234.05 juta berbanding 1.29 bilion saham bernilai RM236.02 juta pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 964.8 juta unit bernilai RM111.98 juta daripada 700.58 juta unit bernilai RM91.53 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang sejumlah 236.15 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (1.22 bilion), penggunaan (230.18 juta), perdagangan dan perkhidmatan (2.35 bilion), teknologi (265.54 juta), infrastruktur (9.56 juta), SPAC (17.14 juta), kewangan (110.97 juta), hotel (1.74 juta), hartanah (283.72 juta), perladangan (74.54 juta), perlombongan (233,300), REIT (5.55 juta), dan dana tertutup (10,000).-- BERNAMA

Berita Harian X