Jumaat, 5 Januari 2018 | 12:14pm

Harga minyak mentah susut

SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini, menjarakkan lagi daripada paras tinggi yang kali terakhir dilihat pada 2015, berikutan peningkatan pengeluaran di Amerika Syarikat (AS) menjejaskan rali kenaikan harga.

West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$61.92 satu tong pada 0313 GMT, sembilan cent di bawah penutup sebelum ini sungguhpun masih hampir paras tertinggi AS$62.21 yang dicatat hari sebelumnya yang juga adalah tertinggi sejak Mei 2015.

Brent didagangkan pada AS$67.96 satu tong, 11 cent di bawah penutup sebelum ini, tetapi tidak jauh daripada paras tertinggi AS$68.27 sehari sebelumnya yang juga adalah tertinggi sejak Mei 2015.

Peniaga berkata, ketegangan di Iran, pengeluar ketiga terbesar dunia dalam kalangan ahli OPEC, menolak naik harga.

"Bantahan di Iran menambahkan lagi kepada persekitaran bulis pasaran minyak ketika ini," kata Norbert Ruecker, ketua penyelidik komoditi di bank Julius Baer di Switzerland.

Harga minyak mendapat sokongan daripada pemotongan pengeluaran diterajui OPEC dan Russia, yang bermula Januari tahun lalu dan pemotongan pengeluaran itu dilanjutkan sehingga 2018, selain pertumbuhan ekonomi dan pasaran kewangan yang kukuh.

Inventori minyak mentah komersial AS susut 7.4 juta tong pada minggu berakhir 29 Disember, kepada 424.46 juta tong, demikian menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA). - Reuters

Berita Harian X