Jumaat, 29 Disember 2017 | 10:03am

Ringgit tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa dibuka pagi ini, berikutan permintaan yang lebih baik bagi mata wang tempatan, selepas berita harga minyak dunia naik serta prospek dolar yang kurang memberangsangkan, membantu meningkatkan sentimen terhadap ringgit.

Pada jam 9.09 pagi, mata wang tempatan pada 4.0575/0605 berbanding dolar daripada 4.0650/0680 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata, minat pelabur beralih daripada dolar AS susulan penurunan hasil bon 10 tahun AS disebabkan oleh Indeks Keyakinan Pengguna AS yang lemah daripada dijangka.

"Tambahan pula, harga minyak dunia yang lebih tinggi juga menyokong ringgit, memandangkan ini akan memberi manfaat kepada perolehan minyak dan gas negara," katanya.

Semasa ditutup semalam, niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate naik 20 cent kepada AS$59.84 setong manakala niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 28 cent kepada AS$66.72 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0341/0370 daripada 3.0372/0401 yang dicatatkan semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.5955/5988 daripada 3.6002/0041 pada Khamis.

Mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 4.8463/8503 daripada 4.8495/5543 semalam dan tinggi berbanding pound kepada 5.4565/4618 daripada 5.4654/4711 pada Khamis. - BERNAMA

Berita Harian X