Jumaat, 15 Disember 2017 | 6:48pm
 Penutupan saluran paip utama Forties di North Sea. - Gambar hiasan
Penutupan saluran paip utama Forties di North Sea. - Gambar hiasan

Harga minyak naik, Brent AS$63.47 setong

SINGAPURA: Harga minyak meningkat pada Jumaat disebabkan penutupan saluran paip utama Forties di North Sea dan pemotongan pengeluaran berterusan yang diketuai oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$57.28 setong pada 0757 GMT, naik 26 cents, atau 0.5 peratus daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras harga minyak antarabangsa pada AS$63.47 setong, naik 16 cents, atau 0.25 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Kerosakan berterusan pada saluran paip Forties, yang menyalurkan minyak dari North Sea ke Britain, adalah pemacu utama harga minyak, kata peniaga.

"Pengendali saluran Forties, Ineos mengisytiharkan 'force majeure' bagi penghantaran minyak mentah susulan penemuan kebocoran pada saluran Selasa lalu, menunjukkan kerja membaik pulih mengambil masa beberapa minggu," kata bank pelaburan AS, Jefferies.

Walaupun gangguan saluran paip itu secara fizikalnya memberi kesan kepada wilayah North Sea, ia turut berkait dengan global kerana bekalan minyak mentahnya adalah sebahagian daripada bekalan menyokong penanda aras harga Brent.

"Jika tempoh gangguan itu berlaku selama beberapa minggu, ia akan meletakkan tekanan ke atas harga Brent," kata Jefferies. - Reuters

Berita Harian X