Isnin, 11 Disember 2017 | 8:53pm

Harga minyak mentah kekal stabil

LONDON: Pasaran minyak stabil hari ini berikutan pengurangan pengeluaran yang berterusan diterajui oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pada AS$57.32 satu tong pada 0749 GMT, susut 4 cents daripada penutup sebelumnya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, tidak berubah pada AS$63.40 satu tong.

Harga minyak mentah mencecah lebih satu pertiga daripada nilai terendahnya pada 2017, sebahagian besar disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan sekumpulan pengeluar bukan OPEC yang diwujudkan sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, penganalisis mengatakan kesan pemotongan itu boleh terjejas oleh peningkatan output dari AS yang tidak mengambil bahagian dalam perjanjian berkenaan.

"Kebimbangan terbesar bagi pelabur kini adalah peningkatan pengeluaran AS yang berpotensi membahayakan perjanjian OPEC dan Russia apabila mereka akan mengadakan semakan pada Jun 2018," kata Shane Chanel, penasihat ekuiti dan derivatif di ASR Wealth Advisers.

Jumlah rig untuk keluaran minyak baharu di AS meningkat dua kali ganda dalam tempoh seminggu hingga 8 Disember kepada

751, paras tertinggi sejak September, menurut firma tenaga General Electric Co's Baker Hughes, pada Jumaat. - REUTERS

Berita Harian X