Jumaat, 1 Disember 2017 | 7:47am

Indeks S&P ditutup pada rekod tertinggi

NEW YORK: Indeks S&P ditutup pada rekod tertinggi, manakala Dow Jones Industrial Average melepasi paras 24,000 mata buat pertama kali Khamis berikutan pelabur semakin yakin reformasi percukaian yang diusahakan parti Republikan akan berhasil.

Keputusan Senator Republikan, John McCain untuk menyokong rang undang-undang cukai itu memberikan nafas baharu.

Dow Jones Industrial Average menokok 331.67 mata, atau 1.39 peratus, kepada 24,272.35.

S&P 500 menambah 21.51 mata, atau 0.82 peratus, kepada 2,647.58.

Nasdaq Composite menambah 49.63 mata, atau 0.73 peratus, kepada 6,873.97.

Pengurangan cukai korporat kepada 25 peratus dapat melonjakkan pendapatan S&P 500 sebanyak 6.5 peratus, demikian menurut anggaran ahli strategi ekuiti UBS, Keith Parker.

Indeks S&P dan Dow Jones mencatat kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut, manakala Nasdaq pula mencatat kenaikan untuk lima bulan berturut-turut.

Sekitar sembilan bilion saham bertukar tangan dalam dagangan paling sibuk sejak 23 Jun, berbanding purata 6.56 bilion saham yang didagangkan dalam 20 sesi sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X