Isnin, 13 November 2017 | 6:10pm

Brent didagang pada AS$63.57

SINGAPURA: Minyak mentah didagangkan berhati-hati hari ini di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di Asia Barat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagang AS$63.57 setong pada 0744 GMT, naik 5 cent daripada penutupan terakhir.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) didagang AS$56.78 setong, naik 4 cent.

Peniaga berkata, harga minyak secara amnya disokong oleh pemotongan bekalan berterusan yang diketuai oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

"Lebihan inventori minyak OPEC berbanding paras purata lima tahun jatuh lebih daripada 50 peratus pada 2017, dengan inventori pada masa ini sekitar 160 juta tong.

"Jika trend semasa berterusan, inventori mungkin kembali kepada purata lima tahun di beberapa peringkat pada tahun depan," kata perunding Timera Energy, sambil menambah bahawa permintaan yang kukuh juga membantu mengurangkan kelembapan harga.

Dari segi penawaran, ketegangan di Asia Barat mencetuskan prospek gangguan, kata peniaga, sambil menambah tidak jelas sama ada gempa kuat yang melanda Iran dan Iraq pada Ahad memberi kesan kepada pengeluaran minyak di rantau ini.

Sementara itu, Bahrain berkata letupan yang mengakibatkan kebakaran di saluran paip utamanya pada Jumaat lalu disebabkan oleh sabotaj, dengan mengaitkan ia sebahagian daripada serangan di Iran. - Reuters

Berita Harian X