Rabu, 8 November 2017 | 3:20pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) II, Datuk Seri Ong Ka Chuan. - Foto Adzlan Sidek
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) II, Datuk Seri Ong Ka Chuan. - Foto Adzlan Sidek

Dagangan Malaysia diunjur RM1.6 trilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Prestasi dagangan Malaysia dijangka terus kukuh dan mampu mencapai sasaran RM1.6 trilion pada akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata jumlah dagangan Malaysia hingga September lalu adalah sebanyak RM1.3 trilion.

"Ia dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik yang menyumbang 36.4 peratus atau RM251.44 bilion daripada keseluruhan eksport negara.

"Kami sangat yakin nilai dagangan tahun ini mampu mencecah RM1.6 trilion berbanding RM1.48 trilion pada tahun lalu, dipacu pelbagai sektor termasuk pertanian," katanya selepas merasmikan Seminar Pelaburan Kebangsaan 2017, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Dalam pada itu, Ka Chuan berkata, Malaysia masih kekal sebagai lokasi strategik pelaburan sama ada untuk pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI).

Malaysia merekodkan keseluruhan dagangan berjumlah RM1.31 trilion dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan eksport sebanyak RM690.25 bilion, manakala import RM620.66 bilion.

ASEAN masih kekal sebagai pasaran eksport utama Malaysia dengan sejumlah RM202.38 bilion atau 29.3 peratus, diikuti China (RM91.87 bilion), Kesatuan Eropah (RM70.90 bilion), Amerika Syarikat (RM66.17 bilion) dan Jepun (RM56.02 bilion).

Berita Harian X