Isnin, 30 Oktober 2017 | 4:34pm

Harga minyak kekal melebihi AS$60

SINGAPURA: Pasaran minyak kekal kukuh hari ini dengan penanda aras Brent kekal melebihi AS$60 setong.

Ia berikutan jangkaan pemotongan bekalan yang diketuai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang mana akan tamat pada Mac depan, besar kemungkinan diteruskan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, didagang pada AS$60.55 setong pada 0655 GMT, naik 10 cent atau 0.15 peratus dari penutup terakhir dan mencecah paras tertinggi sejak Julai 2015.

Harga minyak mentah itu naik lebih 36 peratus sejak paras terendah 2017 yang direkodkan pada Jun lalu.

Kontrak minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 11 cent atau 0.2 peratus kepada AS$54.01 setong.

"Dengan pematuhan yang kuat terhadap pengeluaran OPEC ternyata mampu membendung harga sokongan, sementara komen daripada Putera Mahkota Arab Saudi yang mencadangkan perjanjian pemotongan pengeluaran dilanjutkan juga membantu kenaikan," kata bank ANZ.

OPEC dan Russia serta sembilan pengeluar lain bersetuju untuk menahan kira-kira 1.8 juta tong sehari (bpd) untuk keluar daripada kemelut bekalan.

Perjanjian itu akan tamat pada Mac 2019, namun Arab Saudi dan Russia, yang mengetuai usaha itu menyuarakan pandangan untuk melanjutkan tempoh perjanjian.

OPEC dijadual bertemu secara rasmi di ibu pejabatnya di Vienna, Austria pada 30 November ini.

Sementara itu, peniaga berkata peningkatan kapasiti eksport 900,000 bpd dari pelabuhan selatan Iraq kepada 4.6 juta bpd, yang dilaporkan pada Ahad, menghalang Brent daripada terus meningkat. - Reuters

Berita Harian X