Isnin, 23 Oktober 2017 | 7:24pm

AIIB minat labur dalam tenaga solar Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) melihat banyak peluang pelaburan menarik di Malaysia, terutama dalam pembangunan tenaga solar.

Naib Presiden Untuk Dasar dan Strategi AIIB, Dr Joachim Von Amsberg berkata, institusi kewangan pelbagai hala itu berminat dalam pembiayaan dan pelaburan jangka panjang di bidang baharu di Malaysia, yang mana kepentingan komersial belum lagi bangunkan.

"Kami sudah bercakap dengan ramai rakan sejawat berpotensi di sini dan melihat banyak peluang menarik untuk kami terbabit.

"Kami berbincang mengenai tenaga solar, iaitu subsektor tenaga boleh diperbaharui yang semakin kompetitif berbanding tenaga fosil tradisional," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari Meja Bulat Kuala Lumpur, acara sehari dianjurkan Yayasan Global dan Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia.

AIIB mengalu-alukan usaha kerajaan mencari pembiayaan dalam pelaburan sektor tenaga kerana bank tersebut boleh menjadi lebih tangkas dan inovatif berbanding institusi yang lebih mantap.

Menurutnya, peranan AIIB adalah untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan atau pemaju dengan menyediakan pembiayaan dan menjadikan projek mereka menguntungkan serta membolehkan pelaburan swasta memasuki ruang ini.

"Saya menghabiskan banyak masa di forum kerajaan. Banyak kerajaan bercakap mengenai projek yang mereka ada tetapi pembiayaan yang disediakan tidak mencukupi. Sebaliknya, dalam forum pelabur, anda biasanya mendengar mengenai banyak wang yang ada, tetapi tidak ada projek untuk dilabur.

"Kedua-dua realiti adalah benar. Cuma perkataan 'projek' mempunyai makna berbeza bagi kedua-dua pihak," tambahnya.

Von Amsberg berkata, AIIB mempunyai saluran pelaburan yang kukuh bernilai AS$17 bilion (RM72 bilion) di rantau ini dengan India, Pakistan dan Bangladesh antara penerima pelaburan terbesar.

Menurut beliau, AIIB berusaha secara aktif untuk melabur dalam lebih banyak negara ASEAN kerana kini ia hanya melabur di Indonesia dan Myanmar. - BERNAMA

Berita Harian X